fbpx

Kes bayi maut di taska, apa pilihan ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan/ AFP
NOR SYARIZA MUHD. TAHIR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

KES kematian melibatkan bayi kecil di taman asuhan kanak-kanak (Taska) sering kita dengar dan baca di media arus perdana dan sosial.

Berita seumpama itu bagaikan mimpi ngeri buat ibu bapa, terutamanya yang terpaksa menggunakan khidmat pengasuh di Taska bagi menjaga anak-anak mereka kerana kekangan kerja.

Biarpun ramai menganggap bayi seawal usia tiga bulan, tidak perlu dihantar ke Taska kerana terlalu kecil, namun tidak ramai yang mengerti situasi perlu dihadapi ibu bapa yang menetap di bandar-bandar terutamanya.

Bukan kehendak mereka untuk menghantar bayi sekecil itu pergi ke Taska, namun mereka tidak mempunyai pilihan lain disebabkan tuntutan hidup.

Semudah menyuruh si ibu berhenti bekerja, bukan semudah itu juga untuk melakukannya bagi sebilangan pasangan suami isteri yang perlu sama-sama ­bekerja demi menyara keluarga dan mencari rezeki di kota-kota besar.

Akhirnya, bayi yang baru sahaja ‘habis pantang’ terpaksa ditinggalkan di Taska bersama puluhan kanak-kanak lain dan dibiarkan tanpa pengawasan sepanjang masa.

Menurut Profesor Madya Dr. Mohd. Suhaimi Mohamad, ibu bapa yang ingin menghantar anak ke pusat jagaan perlu memastikan beberapa perkara terutamanya lokasi pusat jagaan hendaklah berhampiran dengan tempat kerja mereka.

Mohd. Suhaimi yang juga Pakar Kerja Sosial, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Universiti Kebangsaan Malaysia memberitahu, ibu bapa juga perlu mengenali penjaga di pusat jagaan bagi memastikan ‘care-fit-person’ dipilih.

“Faktor ketiga adalah struktur pusat jagaan dengan melihat ­ruang dan sumber tenaga manusia yang terlibat adalah seimbang dengan nisbah kanak-kanak yang dijaga,” ujarnya.

Selain itu, jelasnya, bentuk penjagaan yang diberikan sesebuah pusat itu perlu meme­nuhi keperluan bayi atau kanak-kanak mengikut status kesihatan kanak-kanak itu.

“Kelima adalah melihat kepada pengalaman ibu bapa lain yang menghantar kanak-kanak ke pusat jagaan,” jelasnya.

Namun, tambah Mohd. Suhaimi, kerisauan ibu bapa adalah sesuatu yang normal apabila banyak kes kecelakaan dan ke­cuaian penjagaan bayi atau kanak-kanak berlaku di pusat jagaan.

“Apa yang penting di sini adalah ibu bapa perlu bijak memilih dan membuat keputusan penja­gaan kanak-kanak mengikut aspek perkembangan, keperluan kebajikan dan kualiti perkhidmatan pusat jagaan,” ujarnya.

Sekiranya berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini terjadi kepada bayi atau kanak-kanak yang dijaga, kertas siasatan perlu dibuka di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Pusat Jagaan 1993 bagi mengenal pasti punca kejadiaan, sebarang bentuk tingkah laku penderaan atau pengabaian sepanjang pro­ses penjagaan bayi atau kanak-kanak.

Justeru, tidak mengapa sekiranya anda perlu menghantar bayi kecil ke Taska, namun sebelum menyerahkan permata hati ke ‘tangan’ orang lain, pastikan semua perkara diambil kira dan diperhalusi.

Benar, takdir itu sudah di­tetapkan dan malang tidak ­berbau. Setidak-tidaknya kita ­sudah berusaha yang terbaik untuk mencegah sebarang kemalangan yang membabitkan anak-anak kita.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI