fbpx

Pesona sulam goyang bunga kerawang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kehalusan sulaman dengan corak bunga kerawang menjadikan busana pengantin atau kurung tampak klasik dan elegan.

MEMASUKI tahun baharu, mungkin ada antara kita yang bakal berkahwin pada tahun ini sudah sibuk membuat persiapan bagi mengakhiri zaman bujang.

Pemilihan busana pengantin yang betul adalah cukup penting kerana selain menaikkan lagi seri pada hari bahagia, busana yang sesuai atau bersifat timeless juga kelak mungkin boleh diwariskan kepada anak cucu, sekali gus menambahkan lagi nilai eksklusif pada sesebuah busana.

Pereka fesyen tanah air, Muhammad Ridzuan Alias atau lebih mesra disapa sebagai Ridzuan berhasrat menjadikan pengantin wanita tampil menawan pada hari raja sehari mereka itu dengan menghasilkan busana pengantin mewah pada harga yang berpatutan.

Menerusi jenama Teruntum Putih yang diasaskan Ridzuan, bakal pengantin boleh mendapatkan busana pengantin sama ada rekaan klasik mahupun moden pada harga yang berpatutan.

Gaya signatur Teruntum Putih pula adalah sulam goyang iaitu sejenis teknik sulaman klasik yang cukup menawan.

“Pada mulanya, saya hanya menghasilkan rekaan siap dijahit atau ready wear sahaja, namun selepas mendapat permintaan yang tinggi, saya kemudiannya membuka slot tempahan yang mana pelanggan boleh menempah busana seperti kebaya, kurung Kedah atau kurung Pahang klasik yang disuntik elemen moden,” katanya.

Rona putih mendominasi rekaan baju kurung di Teruntum Putih, menjadikan setiap rekaannya tampak klasik, elegan dan clean.

Begitupun, Ridzuan berkata, dia turut memberi ruang kepada pelanggan untuk memilih warna atau fabrik berbeza yang sesuai dengan cita rasa serta bajet dimiliki.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, inspirasi di sebalik penubuhan jenama itu adalah daripada jenama-jenama besar antarabangsa seperti Oscar De La Renta, Dior dan Mugler.

Sulam goyang merupakan teknik sulaman klasik yang cuba kembali dihidupkan Ridzuan.

“Jika dilihat, rekaan yang dihasilkan daripada jenama tekemuka ini sangat menepati trend terkini, permintaan pelanggan dan kekemasan dari segi perincian serta kelainan yang ditampilkan dalam setiap rekaan.

“Ini adalah elemen yang kami mahu hasilkan dalam setiap koleksi Teruntum Putih,” ujar Ridzuan.

Teruntum Putih sehingga kini sudah mengeluarkan lebih 10 rekaan baju wanita, yang mana rekaan daripada koleksi sulungnya yang bernama Melur Mini Kurung Sulam Kerawang Goyang merupakan busana paling digemari Ridzuan dan juga pelanggannya.

Ujar Ridzuan, rekaan itu dihasilkan bagi mengangkat kembali corak klasik bunga kerawang dan hasil kerja sulaman yang semakin kurang diberi perhatian pada masa kini.

“Proses penghasilan sepasang baju sulaman tangan lazimnya memakan masa hampir 36 jam untuk disiapkan, memandangkan ia memerlukan ketelitian yang tinggi.

“Kombinasi warna benang pada corak sulaman goyang berkerawang dan motif bunga yang dihasilkan Teruntum Putih akan dibuat mengikut permintaan pelanggan. Ia akan selari dengan warna latar fabrik untuk menghasilkan kombinasi warna yang harmoni serta sepadan dengan imej kesuluruhan rekaan itu sendiri,” jelasnya.

Bercerita tentang perancangannya pada masa akan datang, Ridzuan berkata, sebagai pereka sudah semestinya dia mahu sentiasa menghasilkan idea baharu.

“Bagi koleksi seterusnya, kami akan memperbaharui identiti sulaman yang ada dan menambah elemen seperti manik atau french lace pada busana,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI