fbpx

Ahli perniagaan seleweng RM267,400 Penjana Kerjaya 2.0 untuk diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh (tengah) diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka, hari ini. - Foto MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI

MELAKA – Seorang ahli perniagaan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas sembilan pertuduhan membabitkan tuntutan palsu Program Insentif Pengambilan Pekerja dan penyalahgunaan wang bantuan Penjana Kerjaya 2.0 bernilai RM267,400.

Tertuduh, Mohd. Azmi Mat Sah, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh selaku pemilik DRAZZ Global Resourses telah mengemukakan tiga nama individu berbeza dalam Borang Pengesahan Pekerja yang bukan kakitangan syarikat berkenaan untuk menuntut insentif di bawah Program Penjana 2.0 berjumlah RM13,200.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Pejabat DRAZZ Global Resources, Kompleks Perniagaan Limbongan dalam daerah Melaka Tengah pada 5 Jun 2021.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi berdasarkan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Bagi pertuduhan keempat hingga kesembilan, tertuduh didakwa dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta milik Perkeso untuk diri sendiri melibatkan wang berjumlah RM254,200 yang merupakan wang Bantuan Penjana Kerjaya 2.0.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Maybank Cawangan Melaka Raya, Taman Melaka Jaya dalam daerah Melaka Tengah pada 3 Ogos 2021 hingga 24 Februari 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun dan dengan sebatan dan hendaklah juga dikenakan denda mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan jaminan RM50,000 dikenakan terhadap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri sekali setiap bulan di pejabat SPRM serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Azrul Zulkifli Stork yang mewakili merayu agar jaminan rendah sekitar RM30,000 diberikan dengan alasan anak guamnya perlu menanggung isteri, menantu serta empat cucu.

Setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak, Elesabet membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM40,000 dan bersetuju dengan semua syarat tambahan dikemukakan pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 10 Mac ditetapkan sebagai sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI