fbpx
Anggota polis melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat seorang buruh di Tawau, Sabah pada 16 Januari lalu.

Cinta tiga segi punca buruh kena bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Hubungan cinta tiga segi dipercayai menjadi punca seorang lelaki dibunuh kejam sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan kembung dan berulat di dalam kawasan semak di Tawau, Sabah pada 16 Januari lalu.

Menurut satu sumber, siasatan awal mendapati, salah seorang suspek diberkas yang juga seorang pegawai kanan polis dipercayai mempunyai hubu­ngan istimewa dengan bekas isteri si mati yang ketika itu berstatus isteri orang.

Hubungan sulit itu kemudiannya dihidu mangsa yang merupakan seorang buruh menyebabkan berlakunya pergaduhan.

Wanita tersebut yang turut ditahan susulan penemuan mayat bekas suaminya dipercayai meminta agar dilepaskan sebelum ini, tetapi dikatakan mangsa enggan berbuat demikian.

Kosmo! semalam melaporkan Polis Sabah mengesahkan menahan empat pegawai kanan dan empat anggota Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan melibatkan seorang lelaki di Tawau.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah dilaporkan berkata, penahanan kesemua suspek 39 hingga 58 tahun itu dibuat secara berasingan sejak penemuan mayat lelaki tersebut pada 16 Januari lalu.

Susulan kejadian itu, satu pasu­kan khas ditubuhkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Bukit Aman untuk menyiasat kes tersebut secara terperinci.

Idris meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi disebabkan kes tersebut bersifat peribadi dan masih di peringkat siasatan.

Ketika ditemui, mangsa berpakaian lengkap dalam keadaan terbaring, namun sudah kembung. Turut ditemui sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna putih berdekatan mayat lelaki tersebut.

Mangsa dipercayai sudah 72 jam meninggal dunia sebelum mayatnya ditemui. Terdapat kesan kecederaan dipercayai akibat tikaman pada leher si mati.

Kes disiasat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN