fbpx

Maszlee akui kesilapan, mohon maaf kontroversi skrip drama Kudeta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Maszlee.

PETALING JAYA – Bekas Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik membuat permohonan maaf secara terbuka terutama kepada golongan wanita susulan kontroversi skrip dikatakan berbaur lucah menerusi drama Kudeta.

Permohonaan maaf secara terbuka itu dibuat oleh beliau menerusi hantaran pada akaun Facebook, hari ini.

“Saya Dr. Maszlee Malik ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana juga kalian berada.

“Saya menyedari akan keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik kepada masyarakat. Namun, ia tidaklah sampai menyinggung sensitiviti mahupun budaya.

“Secara peribadi, saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak Perdana Menteri jahat dipenjara yang telah menggunakan perkataan tidak sepatutnya dan telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua,” katanya pada hantaran itu.

Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih tidak terhingga kepada semua pihak yang telah memberikan teguran, ingatan serta nasihat sama ada secara peribadi mahupun umum.

“Moga Allah ampunkan segala kesilapan saya dan himpunkan kita semua dalam kebaikan.

“Saya juga berharap pihak Astro boleh menapis babak tersebut demi menghormati sensitiviti ramai pihak,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Maszlee juga mengajak rakyat untuk menonton siri drama Kudeta di Astro yang merupakan drama Melayu julung kali berunsur politik, ‘thriller’ dan aksi.

“Banyak yang boleh dipelajari selain babak lima saat yang kontroversi tersebut,” katanya.

Terdahulu, potongan video lakonan beliau yang dikatakan berbaur lucah mendapat perhatian ramai pengguna di media sosial.

Di dalam drama yang dilakonkan tersebut, terdapat adegan iaitu dialog antara Maszlee terhadap pelakon wanita, Vanidah Imran, menunjukkan unsur lucah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI