fbpx

Jawapan Hana Ismail isu tudung singkat, ‘terpaling kahwin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HANA bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang tegas dan banyak mengajarnya tentang agama di rumah. Foto - FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

AMPANG – Pengacara Hana Ismail menjawab kritikan dan kecaman netizen yang mempersoalkan stail tudung singkat yang dipakainya tidak menutup bahagian dada tidak seperti imej lazimnya sebelum ini.

Bagi pemilik nama lengkap Nurulhana Ismail, 37, itu, segala pendapat yang diberikan netizen diterima olehnya dengan hati terbuka dan pada masa sama, dia mengakui kekhilafannya dalam soal pemakaian.

“Saya terima dengan hati terbuka dan anggap teguran tersebut sebagai perkara yang baik.

“Kadang-kadang ada khilaf daripada pihak saya dan untuk menjelaskan lebih lanjut takut orang anggap saya terlalu faham agama.

“Tapi apa yang boleh dikatakan, cukup saya boleh solat dengan pakaian tersebut,” katanya ketika ditemui pada sidang akhbar The Journey Of Humandkind anjuran aplikasi Nurflix pada Khamis lalu.

Meskipun sedar akan kekhilafannya, dalam masa sama Hana turut bersyukur bersuamikan pendakwah terkenal, Da’i Syed yang banyak mengajarkan ilmu agama di rumah.

“Dia sangat menghiburkan, ceria tetapi ada anginnya sendiri. Bagi saya itu sisi tegas yang sangat bagus.

“Ada masa dia akan terapkan ilmu secara tidak formal sehingga saya bersyukur tidak perlu ke kelas agama kerana ada suami yang juga merupakan ustaz di rumah.

“Dia akan bertanyakan jika saya ada ragu-ragu dalam sesuatu isu, kupas mengenai permasalahan masyarakat atau akan memetik kitab untuk menyampaikan ilmu,” ujarnya.

Tidak mahu berpura-pura dalam media sosial dan dunia realiti, Hana menjelaskan mengapa mereka sering menonjolkan keserasian dalam media sosial sehingga mendapat kecaman ramai.

“Dalam hidup ini, kita tidak boleh suruh orang suka kita dan tidak semua kita suka terhadap orang.

“Saya faham kerana kami jadi tumpuan sebab dikenali dan ada juga orang buat hantaran sama mengenai hubungan suami isteri cuma tidak diberi fokus kepada mereka.

“Apa-apa hantaran tersebut jika boleh beri manfaat kepada anda, alhamdulillah. Yang tidak baik jangan diambil,” kata bekas pengacara OM Live! itu.

Sebelum ini, kemesraan hubungan Hana dan Dai’ Syed mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang meluahkan rasa meluat melihat aksi pasangan itu sehingga dilabel ‘terpaling berkahwin’.

Bahkan, selepas berkahwin, peminat turut meluahkan rasa kecewa dengan penampilan Hana yang dikatakan menggayakan tudung senteng dalam hantaran Instagram miliknya.

Hana dan Syed mendirikan rumah tangga pada 3 Disember lalu dengan sekali lafaz di Masjid Ibnu Mas’ud, Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI