PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini menetapkan tarikh lain bagi keputusan rayuan akhir pendakwah selebriti, Da’i Syed untuk mengetepikan sabitan kesalahan merogol tujuh tahun lalu.
Hakim Datuk Azman Abdullah yang mengetuai panel tiga hakim menetapkan perkara itu selepas mendengar hujah daripada kedua-dua pihak hari ini.
“Kita akan menetapkan satu tarikh lain bagi keputusan rayuan. Mahkamah menetapkan 17 Ogos ini bagi pengurusan kes,” kata Hakim Azman.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Semasa prosiding, peguam Datuk M. Athimulan yang mewakili Da’i Syed atau Syed Shah Iqmal Syed Mohd. Shaiful, 31, selaku perayu berhujah Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dalam mensabitkan perayu selain dapatan melabelkan mangsa sebagai wanita naif.
Katanya, dapatan itu bercanggah dengan keterangan pengadu yang mengatakan dia seorang dewasa matang dan mampu menjaga keselamatan sendiri.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Iznina Hanim Hashim menafikan perbuatan itu dibuat dengan kerelaan, sebaliknya tanpa persetujuan dan kerelaan mangsa. Turut hadir pada prosiding itu keluarga Da’i Syed dan isterinya, Hana Ismail, 40.
Pada 14 Februari lalu, selepas 21 hari berada dalam penjara, Da’i Syed yang sedang menjalani hukuman atas kesalahan rogol dibebaskan sementara oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Ini selepas panel tiga hakim diketuai Datuk Azmi Ariffin secara sebulat suara membenarkan permohonan Da’i Syed untuk menggantung pelaksanaan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Hakim Azmi berkata, antara alasan Mahkamah Rayuan membenarkan penggantungan perlaksanaan hukuman kerana pemohon tidak pernah gagal menghadiri perbicaraan sama ada di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Selain itu, tiada keterangan yang menunjukkan pemohon pernah melarikan atau menghilangkan diri daripada menghadiri prosiding.
Pada 23 Januari lalu, Dae’i Syed diperintah ke Penjara Kajang serta-merta selepas mahkamah mengekalkan hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalahan merogol seorang wanita dan tidak membenarkan penangguhan hukuman berkenaan.
Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas meneliti hujahan pihak pembelaan dan pendakwaan dalam permohonan rayuan sabitan dan hukuman terhadap Da’i Syed.
Dalam penghakiman Mahkamah Tinggi berpendapat Hakim Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf dalam keputusan sebelum ini dengan pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah dalam kes tersebut.
Berikutan itu, Da’i Syed memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 26 Januari lalu bagi penangguhan pelaksanaan hukuman.
Pada 10 Disember 2020, Syed Shah Iqmal didakwa atas pertuduhan merogol mangsa berusia 23 tahun di sebuah kondominium di Seksyen 7 di sini pukul 1.35 pagi, 11 September 2019.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE
















