fbpx

Malaysia perit dibelasah di Rourkela

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN SUHAIMI SHAHMIE (dua dari kiri) cuba melakukan jaringan ke gawang Afrika Selatan pada kejohanan Piala Dunia Hoki 2023 di Stadium Hoki Birsa Munda, Rourkela semalam. - FARIZ RUSADIO

ROURKELA – Malaysia terpaksa menelan hakikat perit gagal menutup tirai Piala Dunia Hoki 2023 di kedudukan kesembilan selepas diaibkan Afrika Selatan 3-6 di Stadium Hoki Birsa Munda semalam.

Lebih malang, kekalahan itu mungkin boleh menjejaskan­ peluang Malaysia untuk me­ngekalkan ranking ke-10 dunia selepas tewas kepada Afrika Selatan yang berada di kedudukan lebih rendah iaitu No. 18 dunia.

Beraksi dalam cuaca panas sepatutnya bukan alasan buat Malaysia yang dilihat gagal menyesuaikan diri seawal permai­nan hingga membenarkan Afrika Selatan meraih gol pertama menerusi Bradley Sherwood pada minit kesembilan.

Kekerapan memberikan pukulan sudut penalti kepada lawan juga mengundang padah apabila Afrika Selatan berjaya menggandakan kedudukan melalui Guy Morgan pada minit ke-17.

Peluang anak-anak buah A. Arul Selvaraj untuk bangkit tampak sukar apabila terus membenarkan Afrika Selatan ‘menguasai’ kawasan D dengan gol ketiga melalui Nqobile Ntuli pada minit ke-26.

Aksi lebih bagus ditampilkan di suku masa ketiga apabila berjaya mendapat empat pukulan sudut penalti dan meraih satu gol menerusi Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ke-35.

Bagaimanapun, juara Piala Negara-Negara FIH itu ‘membunuh’ semangat para pemain negara dengan dua gol untuk menda­hului 5-1 menerusi Keenan Horne dan Mustaphaa Cassiem pada minit ke-43 serta 44.

Razie kemudiannya meledak gol kedua (m-45) tetapi sudah terlewat apabila Afrika Selatan berjaya meraih jaringan keenam menerusi Sherwood pada minit ke-57.

Gol ketiga Malaysia menerusi Muhammad Firhan Ashari tidak membawa apa-apa makna apabila keputusan 6-3 kekal sehingga tamat perlawanan.

“Kita kalah dalam 30 minit pertama dan saya tiada jawapan kenapa perkara itu terjadi. Ia sukar untuk kita mengejar apabila sudah ketinggalan 0-3.

“Pandangan saya ia bukan kerana mental pemain tetapi keinginan mereka dan emosi yang tinggi untuk melakukan sesuatu dengan betul.

“Situasi itu boleh menyebakan berlakunya banyak kesilapan. Mereka cuba dan berjuang sehabis baik tetapi ia masih tidak berlaku,” kata Arul.

Kini, Malaysia tiada pilihan dan perlu menang ke atas India atau Jepun dalam klasifikasi 13 hingga 16 esok untuk mengelak menjadi dua pasukan tercorot kejohanan.

Malaysia pernah menduduki tempat ke-14 di The Hague, Belanda pada 2014, manakala edisi 2018 di Bhubaneswar pula di kedudukan ke-15 keseluruhan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI