fbpx

Mahkamah: Tanpa peguam, Siti Bainun akan baca pernyataan saksi hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun ketika hadir di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR – Perbicaraan kes Siti Bainun Ahd Razali yang didakwa atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja sindrom Down Bella akan tetap diteruskan hari ini meskipun Pengasas Rumah Bonda itu tidak diwakili peguam.

Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi membuat penetapan itu selepas tidak mahu lagi bicara bela diri itu ditangguhkan.

Hakim Izralizam turut mengulangi prosiding itu perlu diteruskan seperti tarikh ditetapkan bagi memastikan Siti Bainun dapat menyelesaikan pembacaan pernyataan saksi hampir setebal 200 muka surat itu hari ini dan esok.

Semasa prosiding, Hakim Izralizam bertanya kepada Siti Bainun adakah sudah mempunyai peguam bela dan tertuduh menjawab sudah berjumpa dengan peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

“Saya dimaklumkan peguam YBGK yang akan mengendalikan kes ini (bicara bela diri) memerlukan masa sebulan untuk meneliti kes,” kata Siti Bainun.

Mendengar perkara itu, hakim tersebut bertanya lagi kepada tertuduh adakah dia mengetahui kepentingan kes ini Siti Bainun kemudian menjawab ‘tahu’ kes ini penting.

Hakim Izaralizam: Adakah kamu membuat aduan kepada Majlis Peguam (penarikan diri peguam)
Siti Bainun: Tidak.

Dalam pada itu, Siti Bainun turut memaklumkan tidak membawa sebarang pernyataan saksi pembelaannya di mahkamah hari ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas.

Perbicaraan ditangguhkan sebentar.

Sebelum ini media melaporkan Siti Bainun sebak selepas lima peguamnya menarik diri dari mewakili perbicaraan bela diri itu.

Mereka ialah Nur ‘Aminahtul Mardiah Md. Nor, Asiah Abd. Jalil, Nurul Hafidzah Hassan, Mohammad Farhan Maaruf dan Nur Ellena Mohamed Razif.

Pada masa sama, Hakim Izralizam turut menasihati Siti Bainun supaya melantik peguam yang lebih bertanggungjawab untuk mengendalikan kesnya.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 26 Januari ini bagi sambung bicara.

Sebelum ini, perbicaraan bela diri Siti Bainun tidak ditangguh lagi dan akan diteruskan di Mahkamah Sesyen di sini dengan Siti Bainun memberi keterangan.

Ia selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menolak notis usul yang dikemukakan Siti Bainun berhubung dua pertuduhan untuk disemak semula selain membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan.

Mahkamah Sesyen dimaklumkan seramai 16 saksi termasuk Siti Bainun akan dipanggil memberi keterangan pada prosiding bicara bela diri itu nanti.

Bagaimanapun mahkamah itu hanya membenarkan Asisten Superintendan Rohaini Baharom dari Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) dipanggil.

Manakala dua lagi iaitu bekas penghuni Rumah Bonda, Yasmin Nahar Mahmood dan pakar bedah plastik Dr. Salmi Mohamed Shukur tidak dibenarkan.

Pada prosiding lalu tarikh-tarikh bicara bela diri telah ditetapkan selama 25 hari iaitu 5, 6, 16 hingga 20, 26 dan 27 Januari (sembilan hari) diikuti 20 hingga 24, 27 dan 28 Februari (tujuh hari) dan 6 hingga 10, 27 hingga 30 Mac (sembilan hari).

Sebelum ini, Siti Bainun disahkan diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari berakhir 19 Disember lalu akibat masalah kesihatan.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu, sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, perbuatan itu membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada 28 Oktober tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kesnya selepas memanggil 22 saksi pada perbicaraan kes itu yang bermula 30 Mac tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI