fbpx

Treler satu peratus saja daripada keseluruhan filem – Penerbit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENERBIT filem Pulau harap masyarakat tidak membuat andaian awal sebelum menonton filem penuh.

PETALING JAYA – WebTVAsia selaku penerbit bersama filem Pulau menyatakan pihaknya tiada niat menghina atau menyinggung perasaan sesiapa susulan tercetus kontroversi membabitkan treler naskhah tersebut yang didakwa mengandungi babak lucah.

Penerbit Eksekutifnya, Fred Chong berkata, tidak wajar membuat andaian sehingga timbul salah tanggapan terhadap pengisian filem tersebut hanya bersandarkan paparan klip sedutan untuk promosi.

“Kami tidak ada niat menyinggung mana-mana pihak. Segala bahan promosi filem seperti treler, poster dan filem Pulau sendiri sudah melalui proses pemerhatian lanjut daripada pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

“Termasuklah senarai wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas). Apa yang dilihat melalui treler tersebut cuma satu peratus daripada keseluruhan kandungan filem.

“Jadi saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh yang akan keluar pada 9 Mac depan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Fred lagi, semua babak yang sepatutnya dipotong sudah dipatuhi malah pihaknya yakin terhadap ketelusan proses dan profesionalisme LPF.

“Empat babak yang sepatutnya dipotong telah pun dipatuhi daripada pihak kami dan filem ini diklasifikasikan sebagai PG13 (bimbingan ibu bapa untuk kanak-kanak bawah umur 13 tahun),” katanya.

ANTARA sedutan treler filem Pulau mengandungi babak lucah.

Sementara mengulas isu pakaian mencolok mata, gaya pemakaian ditunjukkan sama seperti mana-mana individu yang memperuntukkan masa bercuti di pulau.

“Pemakaian pelakon pula adalah bertepatan dengan cara pemakaian di pulau,” katanya.

Terdahulu, treler filem genre seram itu mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat kerana mengandungi adegan yang didakwa mempunyai unsur lucah dan ‘soft porn’.

LPF sebagai agensi yang bertanggungjawab membuat tapisan didesak supaya membuat semakan semula sebelum filem tersebut dibenarkan untuk ditayangkan di pawagam.

Lebih tegas apabila ada pihak lain pula menggesa kerajaan mengharamkan terus Pulau daripada dipertontonkan kepada umum.

Filem terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu berkisar percutian sekumpulan anak muda yang bertukar menjadi mimpi ngeri selepas bermalam di sebuah pulau terpencil.

Mereka secara tidak sengaja telah mematahkan mantera lama yang diletakkan untuk menahan semangat jahat hingga berlaku kejadian tidak diingini.

Filem berkenaan membariskan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Namron dan model Ms Puiyi sebagai antara pelakon utama.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berpandangan treler filem Pulau tidak sesuai ditayangkan berikutan difahamkan melalui laporan diterimanya, berkemungkinan terdapat babak yang dipotong terlepas masuk dalam sedutan promosi filem berkenaan.

Justeru, beliau sendiri sudah berhubung dengan pihak Golden Screen Cinemas (GSC) dan difahamkan penerbit filem memutuskan menarik balik tayangan treler itu dalam tempoh terdekat selain melakukan penyuntingan baharu.

Begitupun, pandangannya mendapat pelbagai reaksi termasuk ada yang meminta dirinya tidak mengambil pendekatan bersifat konservatif melibatkan industri kreatif. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI