fbpx

Polemik filem Pulau, lucah atau sekadar tabu?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KONTROVERSI babak panas filem Pulau menjadi perbincangan hangat masyarakat sehingga mengundang teguran daripada golongan pendakwah.

POLEMIK filem Pulau lakonan Amelia Henderson, Alif Satar, Ikmal Amry, Sanjna Suri dan Joey Leong yang memuatkan babak lucah masih hangat menjadi tajuk perbincangan ramai sejak treler naskhah seram berkenaan menemui khalayak dalam YouTube awal minggu lalu.

Didakwa tidak sensitif apabila memaparkan adegan ke arah ‘soft porn’ selain menayangkan aksi berbikini, serangan demi serangan mula dilemparkan masyarakat berserta alasan konkrit bagi membantah tayangannya.

Pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun antara yang lantang membantah selain terkilan dengan tindakan sesetengah pelakon Pulau yang memandang ringan kewujudan babak tidak senonoh dalam filem berkenaan.

NAMA Alif Satar turut panas selepas ada peminat kecewa kerana dia terlibat dalam filem Pulau yang mengandungi babak lucah.

Dalam entri Facebook, Asma’ berkata, kenyataan ‘menyelamatkan diri’ sebahagian pelakon yang tidak terlibat dengan babak panas bukan alasan kerana hasil keuntungan akan dikongsi bersama.

“Jika budaya lucah sudah menjadi darah daging kanak-kanak seawal usia 5 tahun, adakah kita nak bertanggungjawab? Apatah lagi jika budaya jijik itu dilakukan oleh anak-anak kita sendiri?” soalnya.

Selain netizen, penceramah bebas termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), kemuncak perdebatan semakin hangat apabila Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil mengakui treler filem sensasi tersebut kurang sesuai untuk tayangan umum.

Sudah pasti pandangannya meraih reaksi berbeza apabila ada dalam kalangan pengikut laman sosial meminta dirinya tidak mengambil pendekatan bersifat konservatif berhubung isu industri kreatif.

“Berhenti mencuba memuaskan hati mereka yang tidak membuang undi untuk anda,” itu antara luahan pengguna Twitter.

Luahan tersebut disuarakan apabila sebilangan pemerhati filem enggan industri hiburan tempatan terus disekat perkembangan dek pemikiran tabu terhadap kebebasan berkarya.

KATA Ikmal Amry, penonton boleh ‘skip’ menonton filem Pulau sekiranya tidak suka.

Sementara itu, WebTVAsia selaku penerbit bersama filem Pulau menyatakan pihaknya tiada niat menyinggung perasaan sesiapa apatah lagi treler yang dijadikan polemik itu cuma satu peratus daripada keseluruhan kandungan filem.

Penerbit Eksekutifnya, Fred Chong berkata, tidak wajar membuat andaian sehingga timbul salah tanggapan terhadap pengisian filem tersebut hanya bersandarkan paparan klip sedutan untuk promosi.

Malah dia menyangkal dakwaan pihak tertentu yang menuduh mereka ‘menjual’ adegan panas demi menarik penonton.

“Tiada niat menyinggung mana-mana pihak. Bahan promosi filem seperti treler, poster dan filem Pulau melalui proses pemerhatian lanjut daripada Lembaga Penapisan Filem (LPF), termasuklah senarai wajib tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

“Jadi saya berharap masyarakat tidak membuat andaian sebelum menonton filem penuh yang akan keluar pada 9 Mac depan. Tonton dahulu kalau mahu tahu filem ini melampau atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Kesimpulan lebih rasional, ada dalam kalangan ahli akademik meminta masyarakat membuat tapisan kendiri memandangkan orang bukan Islam tidak boleh dihalang untuk berkarya, bahkan adegan mengghairahkan itu pula bukan melibatkan yang beragama Islam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI