fbpx

Sabalenka mara ke pusingan kedua Terbuka Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SABALENKA percaya aspek kekuatan mental perlu diberi perhatian untuk kekal bersaing di Terbuka Australia kali ini selepas mengesahkan slot ke pusingan kedua. – AFP

MELBOURNE – Pemain pilihan kelima, Aryna Sabalenka mempamerkan aksi dalam kelas tersendiri untuk mara ke pu­singan kedua Terbuka Australia dengan menewaskan pemain ranking ke-74 dunia, Tereza Martincova dengan keputusan 6-1, 6-4 semalam.

Pada aksi pusingan pertama itu, atlet kelahiran Belarus itu hanya memerlukan masa satu jam 9 minit untuk menewaskan Martincova dan bakal membuat perhitungan dengan wakil Amerika Syarikat (AS), Shelby Rogers esok.

Sabalenka berkata, aksi pembukaan pada mana-mana kejohanan bukanlah semudah yang disangka, tetapi mungkin kecemerlangan yang dipamerkan untuk menjuarai Terbuka Adelaide minggu lalu telah menaikkan motivasi dalam usaha memberikan yang terbaik.

“Ini adalah perlawanan yang sukar kerana Martincova memberikan tentangan yang cukup sengit khususnya pada set ke­dua. Namun, saya akui agak lega selepas dapat meraih kemena­ngan pertama yang boleh me­ningkatkan moral selepas ini.

“Cuma, harus diakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek mentaliti agar saya dapat terus kekal bertenang di atas gelanggang walaupun nasib tidak memihak kepada saya nanti,” katanya.

Sementara itu, pemain muda dari Kanada yang berada di ranking ke-40 dunia, Leylah Fernandez turut meloloskan diri ke pusingan kedua selepas me­nyingkirkan bintang veteran Pe­rancis, Alice Cornet dengan keputusan 7-5, 6-2 semalam.

Leylah yang berusia 21 tahun berharap dapat mengulangi magis dalam kejohanan bertaraf Grand Slam buat kali kedua dalam kariernya selepas berjaya mara ke peringkat akhir saingan Terbuka AS edisi 2021. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI