fbpx

Nelayan, pembuat bot didakwa edar dadah hampir 100 kilogram

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rozita (dua dari kiri) diiringi anggota selepas didakwa di Mahkamah Majistret Jasin, Melaka, hari ini. Pix/SYAFEEQ AHMAD

JASIN – Dua nelayan dan seorang pembuat bot antara empat yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mengedar dadah seberat 99.26 kilogram (kg), pada awal bulan ini.

Kesemua tertuduh, Mohd. Nor Fazdli Kamarudin, 38, Muzairi Mustapa, 44, dan isteri Muzairi, Rozita Ab. Wahab, 41, serta Mohd. Najib Jaafar, 44, dihadapkan dengan dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Tan Chai Wei.

Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham dan tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine dengan berat kasar 82,640 gram kira-kira pukul 3 petang di sebuah rumah di Taman Serkam Jaya, Merlimau dalam daerah Jasin.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh secara bersama-sama didakwa mengedar dadah jenis 3-4 Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat kasar 16,620 gram di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati mengikut Seksyen 39B(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Izudddin Said, manakala hanya tertuduh Mohd. Nor Fazdli diwakili Peguam Salim Bashir.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh 14 Mac depan sebagai sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Kosmo! pada 6 Januari lalu melaporkan, polis memberkas lapan individu termasuk nelayan selepas dipercayai terlibat dalam sindiket dadah antarabangsa bernilai RM3.8 juta yang disimpan di sebuah rumah di kawasan Serkam, Merlimau.

Kesemua suspek yang berusia 28 sehingga 48 tahun ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Melaka dalam tiga serbuan berasingan di daerah ini dan satu di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI