fbpx
Berbelanja di kedai runcit dapat menjimatkan wang. Gambar hiasan

Kedai kecil pilihan untuk berjimat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kenaikan harga barangan keperluan pada masa sekarang cukup memberi kesan kepada sesiapa sahaja, lebih-lebih lagi kepada mereka yang mempunyai banyak tanggungan.

Barang-barang makanan harian seperti sayur, ikan, ayam, daging dan lain-lain kini melambung tinggi harganya tanpa belas kasihan seolah-olah tidak mampu dikawal walaupun tampuk pemerintahan bertukar tangan.

Telur ayam pula usah cakaplah, masih sukar dicari, kalau ada pun harganya turut mahal meskipun sudah ada yang diimport dari luar negara.

Nampaknya menjaga barangan keperluan rakyat sekecil itu susah rupanya, tidak semudah seperti yang diucapkan sebelum ini.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini, ramai yang mengambil langkah berjimat-cermat dalam berbelanja untuk urusan keluarga dengan hanya membeli apa yang perlu sahaja.

Seorang rakan memberitahu, sebelum ini jika ingin mencari barang dapur, dia akan mengunjungi pasar raya besar kerana baginya di sana segala yang diinginkan tersedia.

Sediakan wang sahaja, apa yang dimahukan semuanya ada walaupun barangan tersebut bukan keperluan seharian, sebaliknya boleh dikategorikan sebagai kehendak semata-mata.

Katanya, setiap kali ke sana, kalau tidak habis sekitar RM200 atau RM300 tidak sah. Asalnya mahu mencari beras, gula, garam dan sayur-sayuran sahaja.

Namun, segalanya berubah bila berada dalam pasar raya tersebut kerana barangan yang tidak perlu dibeli pada ketika itu turut dimasukkan ke dalam troli, kononnya untuk dibuat stok.

Sudahnya, melayanglah beberapa not berwarna ungu dek terbeli barang tidak begitu penting.

Bagaimanapun, kata rakan tersebut, pada masa ini dia lebih suka mengunjungi kedai kecil atau pasar mini sahaja sebagai langkah berjimat-cermat dengan membeli barangan yang betul-betul diperlukan sahaja.

Lagipun katanya, kedai itu tidak jauh dari kediaman dan boleh dikunjungi bila-bila masa diperlukan sekiranya barang dapur hampir kehabisan.

Tambahan pula, apabila berbelanja di kedai kecil, kita tidaklah rambang mata untuk membeli barangan lain yang tidak sepatutnya diambil bersama.

Jadi, dapatlah kita mengawal perbelanjaan harian dengan membeli secara berhemah tanpa perlu risau terlebih bajet.

POPULAR