fbpx

Mahkamah: Datuk didakwa tipu pembelian pegangan pesawat, helikopter lebih RM7 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk didakwa Mahkamah Sesyen di sini semalam atas dua pertuduhan menipu berhubung pembelian milikan pegangan pesawat serta helikopter dan memasuki perjanjian pinjaman menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini enam tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh Datuk Ismail Hassan, 59, mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh yang telah muflis itu didakwa menipu seorang ahli perniagaan berusia 57 tahun dengan memperdayakannya bahawa tertuduh hendak membeli milikan pegangan pesawat Cessna 650 Citation III (N95AZ) dan helikopter jenis EC120B (N120TX) dengan harga RM 7,092,995.

Dia dituduh dengan niat curang telah menyerahkan dua cek bernilai RM1 juta dan RM6,092,995 kepada lelaki tersebut sedangkan tertuduh mengetahui bahawa cek-cek tersebut tidak boleh ditunaikan.

Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah firma guaman di Solaris Dutamas, di sini pada 21 Februari 2019.

Bagi pertuduhan pertama itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah Seksyen 417 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Sementara pertuduhan kedua, dia didakwa sebagai seorang muflis (ketika kejadian) yang belum dilepaskan, telah memasuki satu perjanjian pinjaman bertarikh 29 November 2017 dengan lelaki sama, bagi tujuan pembelian pesawat dan helikopter sama, serta penubuhan sebuah syarikat untuk menjalankan perniagaan penyewaan pesawat di negara ini.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pejabat di Jalan Pinang, Dang Wangi di sini, pada 29 November 2017.

Bagi pertuduhan kedua itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 109(1)(m)(ii) Akta Kebankrapan 1967 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 109(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Josiendra Abu Senin manakala tertuduh diwakili peguam, Datuk Zainal Omar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Februari depan untuk sebutan kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI