fbpx

Pekan Lama Arau produk pelancongan baharu Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tuanku Syed Faizuddin (kanan) bersama komuniti setempat berjalan melawat Pekan Lama Arau di Arau, hari ini.

ARAU – Pekan Lama Arau bakal berubah wajah menjadi satu lagi produk pelancongan baharu di negeri Perlis menerusi Projek Diraja Transformasi Komuniti Pekan Lama Kota Raja Arau.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, projek transformasi Pekan Lama Arau telah bermula sejak setahun setengah lalu apabila kebanyakan premis dicat semula dengan warna kuning dan putih.

“Beta harap komuniti di sini termasuk pengusaha kedai akan turut serta dan dapat bersama-sama merealisasikan usaha dilakukan.

“Dalam tempoh dua tahun, Pekan Lama Arau boleh menjadi tarikan kepada pelancong dan beberapa perkara merangkumi aspek kebersihan, aliran trafik dan pengindahan perlu diberikan perhatian oleh komuniti di sini,” titah baginda selepas berkenan merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina Pekan Lama Arau di sini hari ini.

Berangkat sama pada majlis berkenaan, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama anakanda baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah; Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, keluasan kawasan itu juga tidak terlalu besar untuk diuruskan dan mempunyai peniaga berbilang kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India.

“Beta berharap agar usaha bagi membangunkan kawasan ini tidak terhenti, malah selepas ini pihak berkaitan perlu duduk bersama dan bincang semula secara lebih teliti.

“Pekan Lama Arau boleh dibangunkan semula sebagaimana Projek Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis yang semakin menjadi tarikan kepada pengunjung luar,” titah baginda.

Tambah baginda, jika projek transformasi di Seberang Ramai boleh berjaya, pembangunan semula Pekan Lama Arau ini juga dapat dilakukan kerana mempunyai keunikan tersendiri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI