fbpx

PATI jadi pilihan tangkap ikan laut dalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot nelayan itu yang ditahan di sekitar perairan Sungai Besar, Sabak Bernam.

KLANG – Pendatang asing tanpa izin (PATI) terus menjadi pilihan pemilik bot bagi menjalankan kegiatan penangkapan ikan khususnya di laut dalam.

Ini terbukti menerusi penahanan terbaharu melibatkan lima PATI warga Indonesia pukul 12.50 tengah hari semalam pada kedudukan kira-kira 52 batu nautika perairan Sungai Besar di sini.

Mereka berusia 31 hingga 54 tahun yang dibayar antara RM50 hingga RM100 dan telah bekerja sehingga dua tahun itu merupakan tangkapan kes kedua dalam tempoh dua minggu pertama bulan ini.

Pengarah Maritim Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar berkata, penahanan itu dilakukan menerusi rondaan rutin dalam Op Ehsan dengan pemeriksaan mendapati bot kelas C itu dikendalikan seorang tekong dan empat kru.

“Semakan kemudian mendapati mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah dan pemilik bot menggaji pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan.

“Selain itu, pelbagai ikan seberat 200 kilogram dan peralatan menangkap ikan ditemukan di bot tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Siva Kumar, siasatan awal mendapati lima warga asing itu bekerja dengan pemilik bot antara empat bulan hingga dua tahun.

“Mereka dipercayai dibayar gaji harian iaitu RM100 bagi tekong manakala RM50 kepada kru yang keluar menangkap ikan di laut.

“Kelima-lima mereka berasal dari kawasan sama di Indonesia dan tiada pertalian kekeluargaan,” ujarnya.

Tambah Siva Kumar, bot dan semua lelaki itu dibawa ke Jeti Polis Marin Pulau Indah bagi tindakan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Kosmo! Online pada 6 Januari lalu melaporkan tindakan dua nelayan tempatan menggaji tiga warga asing membawa padah apabila ditahan di kedudukan 4.3 batu nautika perairan Kuala Selangor.

Kesemua berusia 32 hingga 64 tahun ditangkap kira-kira pukul 10.30 malam juga dalam bot kelas C. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI