fbpx

Lee Zii Jia mahu kekal tanpa jurulatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZII JIA tersingkir seawal pusingan pertama di Terbuka Malaysia apabila tumbang ketika menentang Naraoka kelmarin.

PERSEORANGAN lelaki No. 1 negara, Lee Zii Jia tidak akan meng­ubah pendirian untuk terus beraksi tanpa khidmat jurulatih selepas tersingkir seawal pu­singan pertama pada Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2023 kelmarin.

Pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil, dia yang juga pemain No. 2 dunia ditunjukkan jalan keluar oleh pemain Jepun, Kodai Naraoka apabila tewas dalam aksi tiga set 21-13, 17-21, 19-21.

Zii Jia yang berpisah dengan jurulatih dari Indonesia, Indra Widjaja November lalu, bagaimanapun enggan membuat ‘pusingan U’ walaupun mengakui keadaan sedikit berbeza tanpa kehadiran jurulatih.

“Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, ini adalah jalan yang saya pilih, jadi saya perlu terima dan tanggung. Mati pun matilah, namun saya tidak akan menyesal,” kata juara Asia itu.

Pada ketika ini, Zii Jia bergerak secara profesional dan dibantu seorang lagi pemain profesional, Liew Daren serta fisioterapi, Sandra Fielder dan Lim Joe Heang yang bertindak sebagai jurulatih kecergasan.

Sementara itu, pemain ber­usia 25 tahun itu akur dengan kekalahan kepada Naraoka dan dia berazam untuk menunjukkan kebangkitan menjelang kejohanan Terbuka India yang dijadualkan bermula 17 hingga 22 Januari nanti.

Berdasarkan undian yang dibuat, Zii Jia dijadualkan membuka gelanggang Terbuka India dengan membuat perhitungan menentang pemain Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito di pu­singan pertama.

“Saya perlu lupakan apa yang berlaku pada hari ini (kelmarin) dan terus bekerja keras pada kejohanan akan datang. Masih ba­nyak kejohanan lain dan saya akan cuba hasilkan keputusan lebih baik,” ujar pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI