fbpx

Tengku Permaisuri Selangor dukacita, mahu SOP pusat kurungan anjing, kucing dipertingkatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar tular yang dimuat naik oleh Persatuan Kebajikan Haiwan (MAWA Malaysia) di akaun Instagramnya.

SHAH ALAM – Semua pihak berkuasa terutama majlis-majlis perbandaran di Selangor digesa agar memperbaiki dan menaiktaraf tatacara pengurusan di pusat-pusat kurungan anjing dan kucing kendalian mereka.

Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin bertitah mahu pihak-pihak berwajib meneliti semula pendekatan baharu yang lebih holistik dalam menguruskan pusat-pusat kurungan haiwan terbiar ini.

Tengku Permaisuri Norashikin sebagai Penaung Diraja bagi kempen Stray Free Selangor (SFS) kendalian Persatuan Pencegahan Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor menzahirkan rasa dukacita dan kecewa susulan tularnya gambar dan video anjing-anjing terbiar yang terabai di sebuah pusat kurungan anjing di negeri Selangor.

“Menyedari bahawa anjing terbiar yang ditempatkan di pusat-pusat ini kebanyakannya tidak terurus dan kurang nutrisi, maka prosedur operasi standard (SOP) harian yang sedang digunapakai juga perlu disemak semula.

“Ini kerana jika SOP semasa ini terbukti berkesan, tidak sepatutnya tular video yang menunjukkan anjing-anjing berkenaan seolah-olah teraniaya, terabai dan tidak terurus,” titahnya menerusi Facebook Selangor Royal Office, hari ini.

Justeru, baginda mencadangkan agar usaha-usaha ke arah memelihara kebajikan dan mengurangkan bilangan haiwan-haiwan terbiar ini dipergiat, menerusi kempen Create Caring and Compassionate Communities (CCC).

Tengku Permaisuri Norashikin menitahkan ia ditunjangi dengan memperkasa semula kolaborasi dan kerjasama di antara majlis-majlis perbandaran dan penduduk-penduduk taman perumahan terlibat.

Selain itu, majlis perbandaran dengan kerjasama SPCA mengendalikan sesi-sesi Responsible Pet Ownerships (RPO) bersama penduduk.

“Menyediakan jadual lawatan berkala oleh SPCA dan NGO ke pusat-pusat kurungan haiwan terbiar.

“Di samping itu, menempatkan pegawai-pegawai kebajikan haiwan bersama pencinta-pencinta haiwan di setiap zon daerah, seterusnya melatih mereka untuk menggalakkan pengkasian (neuter) haiwan terbiar di bawah kempen SFS,” titahnya.

Sehubungan itu, Tengku Permaisuri Permaisuri Norashikin berharap usaha-usaha untuk menjaga kebajikan haiwan-haiwan terbiar ini akan berterusan dan tidak sekadar melepas batuk di tangga sahaja. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI