fbpx

Banyak ‘kecurangan’ ditemui selepas semak fail – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau menemui banyak ‘kecurangan’ yang keterlaluan selepas menyemak fail-fail di Kementerian Kewangan.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, urusan untuk menyiasat ‘kecurangan’ yang keterlaluan tersebut bagaimanapun bukan urusan beliau.

“Urusan saya adalah menetapkan dasar dan menegakkan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.

Anwar berkata, beliau menyentuh perkara itu semasa menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Ketua-Ketua Jabatan Persekutuan Negeri Terengganu di Dewan Senat, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) hari ini.

Menurutnya, beliau mahu penjawat awam faham bahawa ‘ketelanjuran’ itu tidak harus berterusan dan bukannya untuk mencerca sesiapa tetapi untuk berpakat demi kepentingan rakyat.

Sebagai contoh, katanya, projek tebatan banjir adalah hal mendesak dan ia akan diluluskan tanpa tender bagi memudah dan menyegerakan projek tersebut kerana ia melibatkan keselamatan dan kepentingan rakyat.

“Saya mulakan budaya kesederhanaan dari atas kerana saya fikir tidak adil untuk saya sergah pejabat daerah atau negeri, tetapi di peringkat Persekutuan budaya itu kekal bobrok.

“Saya amat berharap kita dapat menghormati pilihan yang telah dibuat rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 dan hentikan sentimen politik yang keterlaluan dan merosakkan,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengingatkan semua pegawai kanan dan ketua jabatan kerajaan Persekutuan bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua negeri dan layanan kepada setiap negeri adalah setara dan saksama.

“Insya-Allah saya akan ketemu kerajaan Terengganu setelah suhu politik itu dileraikan. Saya turut memberitahu perkara tersebut kepada Tuanku Sultan Terengganu dalam sesi menghadap pagi tadi.

“Selain itu, saya turut menyeru penjawat awam agar dimaknai prinsip ‘democratic accountability’ dalam mendirikan kebijakan yang baik untuk rakyat.

“Kita sebagai pembuat dan pelaksana dasar tidak harus bersikap ‘complacent’ dan mesti buat sedaya upaya untuk memungkinkan perubahan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI