fbpx
HARGA semasa pakej umrah ketika ini adalah RM7,800 dan meningkat kepada RM8,800 pada musim cuti sekolah. – GAMBAR HIASAN

Kos umrah naik mendadak sejak Oktober lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Kenaikan kos umrah melibatkan jemaah umrah di Tanah Suci sebenarnya berlaku sejak Oktober tahun lalu dan tiada sebarang kenaikan selepas itu.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Razali Mohd. Sham berkata, kenaikan tersebut telah lama berlaku dan ia adalah pada paras maksimum ketika ini.

“Pakej sudah naik sejak bulan Oktober tahun lepas lagi, jika tidak harga umrah sebelum ini sekitar RM4,800 dan untuk cuti sekolah harganya RM5,800.

“Kenaikan terbaharu ini adalah maksimum dan tidak akan naik lagi. Untuk makluman, sebelum bulan Oktober harga tiket kapal terbang sekitar RM2,700 dan sekarang sudah jadi RM4,800 hingga RM5,000.

“Begitu juga harga hotel yang sebelum ini RM190 tetapi telah naik sehingga RM300 dan harga visa juga naik daripada RM170 kepada RM700,” katanya ketika dihubungi Kosmo! kelmarin.

Jelas beliau, harga semasa pakej umrah ketika ini adalah sekitar RM7,800, manakala bagi musim cuti sekolah harganya meningkat kepada RM8,800.

Senada dengan Razali adalah Pengerusi Zahafiz Travel & Tour Sdn. Bhd, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof yang turut memaklumkan kenaikan tersebut berlaku sejak Oktober lalu.

Jelas beliau, kenaikan itu terpaksa dilakukan bagi mengelak lebih banyak kerugian yang dialami pihak agensi ketika ini.

“Kenaikan dari bulan Oktober lagi, kebanyakan agensi pengendali jemaah umrah terkesan ke­rana kenaikan terlalu mendadak sedangkan pakej yang ditawarkan mengikut harga lama sebelum ini.

“Banyak syarikat alami kerugian termasuk saya. Harga hotel sekarang terlalu mahal sama se­perti harga pada bulan Ramadan dan susah nak dapat bilik kerana terpaksa bersaing dengan agensi dari negara lain,” ujarnya.

Sebagai contoh katanya, harga hotel lima bintang yang dahulunya sekitar RM600 naik kepada RM1,400 sehari, manakala tiket penerbangan naik dari RM3,300 kepada RM4,800.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN