fbpx
BRONT PALARAE

Harum Malam ‘eskapisme’ karya seram Bront Palarae

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“FILEM kami Tok Gurunya kacak,” demikian kata Bront Palarae memuji ketampanan Faizal Hussein yang memainkan peranan tersebut dalam filem seram terbaharu arahan Dain Said, Harum Malam.

Sering dinamakan sebagai pemain filem horror terutama dengan jenama Pengabdi Setan, Bront atau nama sebenarnya, Nasrul Suhaimin Saifuddin tidak mahu terus hanya dikenali dengan kandungan resume sebegitu.

Katanya, dia ingin juga diberi kepercayaan menterjemahkan karakter-karakter selain bernuansa seram yang kebelakangan ini lazim singgah kepadanya disebabkan fenomena karakter Bapak atau Bahri Suwono dalam filem Indonesia tersebut.

Harum Malam, seram

“Bila saya buat (filem) seram di luar (Indonesia), sebenarnya banyak skrip filem tempatan genre sama datang. Penerbit ajak buat cerita seram.

“Saya memang nak buat tapi tak naklah buat benda yang kita rasa macam berulang ataupun replikasi daripada filem lain.

“Dalam hati, memang dah fikir nak buat sesuatu yang agak berbeza (daripada apa yang selalu dipaparkan sejak kebelakangan ini) tapi masih lagi dalam acuan filem menghiburkan.

“Maksudnya, masih lagi filem-filem ‘popcorn’. Kemudian, datanglah filem Harum Malam yang saya setuju untuk terlibat sama (walaupun filem seram),” ujarnya kepada HibGlam, baru-baru ini.

JENAMA filem seram masih kuat melekat pada dirinya, meskipun Bront akui sentiasa menagih projek berbeza selain cerita hantu dan mistik.

Bercerita tentang kerjasama dengan Dain melakonkan salah satu watak dalam Harum Malam, Bront, 45, bercerita satu perkara yang bersifat lelucon.

Katanya, tawaran datang ketika dia sedang berjoging di sekitar kawasan rumah Dain.

“Kebetulan waktu itu, saya joging di depan rumah Dain dan dia pun sedang siram pokok.

“Dia tanya, ‘you free ke?’. Saya jawablah ya. Dah memang jodohnya begitu. Kami pun duduk berbincang tentang ceritanya mengenai apa. Cerita apa dan semuanya.

“Bila tahu niat dan visi filem, kita semua tahu Dain punya filem sangat istimewa dan berbeza. Ada benda yang ingin dipaparkan dalam filem ini buat audiens tempatan dan juga kawan-kawan di luar yang berminat dengan projek ini.

“Kesimpulannya, filem Harum Malam sangat menyajikan sesuatu yang segar-bugar, mengujakan, thrilling dan apa yang diperlukan dalam sesebuah filem seram, ada dalam naskhah ini,” jelas Bront.

Filem Harum Malam yang turut dibintangi pelakon ‘papan atas’ lain seperti Remy Ishak, Nadiya Nisaa, Nabila Huda, Amanda Ang dan Joey Daud telah ditayangkan di beberapa festival filem berprestij antaranya Sitges di Sepanyol dan Jogja. Rata-ratanya memberikan respons yang positif.

Kagumi Dain Said

Perkara tersebut diakui Bront yang sangat mempercayai lakon layar serta bakat pengarahan Dain.

“Kita semua tahu Dain punya hasil kerja sangat luar biasa. Berdasarkan komen awal yang diterima daripada tayangan festival filem, alhamdulillah, kami tak sabar nak kongsi filem ini dengan penonton tempatan,” katanya.

ADA sesuatu yang menarik minat Bront ketika menerima tawaran membintangi Harum Malam meskipun genrenya tetap cerita seram. – MUHAMAD IQBAL ROSLI

Sementara itu, ditanya tentang pengalaman bekerja dengan Dain yang duduk di bangku pengarah, Bront memberitahu bahawa perkara tersebut bukan sesuatu yang mudah.

“Kerja dengan Dain tak pernah senanglah (ketawa).

“Benda yang ‘best’ tentang projek ini adalah kita dapat melihat bakat lakonan pelakon muda. Benda yang juga orang jarang cakap tentang Dain adalah dia menjumpai bakat-bakat baharu.

“Saya dan Nadiya adalah sebahagian daripada generasi yang waktu filem Dukun pelakonnya semua ‘taiko’ (arahan Dain). Sekarang tengok dia rekrut pelakon-pelakon muda, saya teruja,” ujarnya.

Nama gah di Indonesia

Diajak berbicara tentang penerimaan orang Indonesia terhadap karier lakonannya di sana, Bront yang pernah meroket namanya menerusi naskhah Ombak Rindu sekitar 11 tahun lalu sekali lagi menadah tangan tanda syukur melihat keberadaannya dalam industri seni masih diterima.

Tidak setakat popular di tanah seberang sebagai aktor berkaliber, bakatnya turut masih berbisa dan disegani di negara kelahiran sendiri.

Kata Bront, tiada isu mengenai keselesaan apatah lagi dilayan bagai anak raja selepas melebarkan sayap ke Indonesia.

KATA Bront, dia teruja melihat Dain merekrut bakat-bakat baharu dalam filem Harum Malam.

“Tidak timbul soal dianaktirikan di sini. Mungkin projek yang saya buat di Malaysia, impaknya tidak sebesar filem luar yang saya lakonkan di sana.

“Pada saya, sama sahaja berkarya di negara sendiri mahupun negara orang. Cuma mungkin ketika ini rezeki dan tawaran banyak datang dari Indonesia.

“Apa yang boleh saya katakan, kerjasama dan hubungan sama ada dengan penggiat industri seni mahupun pengamal media tempatan masih sama seperti dahulu dan tak pernah berubah,” jelasnya yang bakal muncul dengan filem Malbatt: Misi Bakara tahun ini.

Terus melantunkan aksara kata, Bront meneruskan bicara, mungkin orang nampak namanya begitu mudah naik apabila bekerja di tempat orang.

Hakikatnya, usaha untuk mengukir nama di tempat asing lebih-lebih lagi dalam pasaran besar seperti Indonesia bukanlah semudah yang difikirkan.

Ujarnya, semua itu berlaku secara kebetulan kerana rezekinya sudah tertulis di situ hingga ke detik ini.

“Jujur sebenarnya tidaklah mudah seperti disangka. Kalau sebelum ini waktu awal-awal aktif berlakon di Malaysia lagi, saya memang mengejar watak sebagai keutamaan.

“Tetapi kini, watak jatuh jadi nombor dua kerana penceritaan atau jalan cerita dalam sesebuah naskhah itu jauh lebih penting,” kata Bront menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN