fbpx

Program penjara bantu kurangkan kadar jenayah dalam negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin melihat tenunan songket banduan penjara sambil diiringi Ketua Pengarah Penjara Malaysia, Komisioner Jeneral Datuk Nordin Muhamad (kiri) ketika meninjau Galeri Vokasional dan Indutri sempena lawatan rasmi beliau ke Ibu Pejabat Jabatan Penjara Malaysia di Kajang, hari ini. - Foto MUHAMAD IQBAL ROSLI

KAJANG – “Kita mahu anjak persepsi lama masyarakat terhadap penjara sebagai tempat ‘menghukum’ kepada penjara sebagai tempat memperbaiki”.

Demikian kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution ketika dalam sidang media selepas melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat Penjara Malaysia (IPPM) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jabatan Penjara wujud di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan mempunyai fungsi-fungsi yang sangat khusus.

Dalam pada itu, beberapa program yang telah dijalankan oleh Jabatan Penjara telah berjaya mengurangkan kadar jenayah berulang dan hanya berlaku kepada satu daripada 800 banduan yang dibebaskan.

“Program dijalankan dengan jayanya seumpama program parol, percubaan serta Pembebasan Banduan Secara Berlesen (PBSL) di bawah Seksyen 43 Akta Penjara 1995 telah menunjukkan kejayaan yang sangat jelas yang diukur dari segi apakah berlaku kes berulang mereka (banduan) kembali semula ke penjara.

“Elemen ‘correctional’ ini kita akan sasarkan dan beri penekanan terhadap 18,000 pesalah yang menjalani hukuman kurang dari tiga tahun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sementara itu, Jabatan Penjara juga difahamkan mengalami kekurangan kekuatan anggota beruniform serta kakitangan awam.

“Sebanyak 1,300 badan beruniform serta 180 orang kakitangan awam diperlukan dan pihak kami akan menyegerakan proses pengisian jawatan khusus di sini.

“Jabatan ini mempunyai tugas yang sangat murni kerana berdepan dengan satu kelompok dalam masyarakat yang menjalani kehidupan mereka di bawah bumbung penjara.

“Sudah tentu penambahan ini ada implikasi kewangan tetapi ia munasabah, khususnya untuk kita tambah kekuatan anggota Jabatan Penjara,” katanya.

Seterusnya, KDN juga dalam perancangan menaik taraf premis penjara yang dibina sejak 70-an bagi menampung penghuni penjara yang dianggarkan sebanyak 74,000 orang di seluruh negara setakat ini.

“Kita mempunyai perancangan untuk mempunyai aset-aset baharu atau premis baharu. Sedaya mungkin kita tidak mahu ada penambahan penjara baharu sebab kita mahu kurangkan kadar jenayah, sabitan sekaligus dapat mengurangkan penghuni penjara.

“Kita masukkan dalam pelan perancangan dan kenal pasti beberapa penjara lama yang masih wujud dan boleh diguna pakai.” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI