fbpx

Guru rugi RM95,100 terperdaya kerja sambilan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PEKAN – Hasrat seorang guru untuk menambah pendapatan dengan melakukan kerja sambilan berakhir dengan kerugian sebanyak RM95,100 selepas mangsa terperdaya dengan sindiket penipuan tawaran kerja melalui aplikasi Telegram.

Ketua Polis Daerah Pekan, Superintendan Mohd. Zaidi Mat Zin berkata, kejadian bermula pada 22 Disember lalu selepas mangsa yang berumur 35 tahun menerima pesanan ringkas melalui WhatsApp menawarkan kerja sampingan dengan menyertai pautan di Telegram.

“Mangsa menyertai kumpulan Telegram itu pada 23 Disember lalu dan telah mendapat keuntungan semula selepas membuat pelaburan buat pertama kali.

“Seterusnya mangsa telah membuat beberapa tugasan dan transaksi daripada tarikh 23 Disember hingga 28 Disember lalu di beberapa akaun berbeza dengan tujuan mendapatkan keuntungan seterusnya,” katanya di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zaidi, mangsa berasa tertipu apabila masih tidak menerima pulangan wang dijanjikan selepas melakukan kesemua transaksi.

Katanya, susulan itu mangsa membuat laporan polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis menasihatkan kepada semua masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terperdaya dalam membuat keputusan atau menerima tawaran pekerjaan melalui dalam talian oleh mana mana pihak.

“Ia bagi mengelakkan diri menjadi mangsa penipuan tawaran kerja di platform e-dagang atau media sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI