BUKAN mudah untuk menjadi seorang Izreen Azminda. Kehidupannya penuh liku, ada suka dan duka yang berulang-ulang biarpun sudah lima tahun sejak perkahwinan penuh kontroversinya dengan suami, seorang pemuzik, Muhamad Radzi Abdul Wahid, atau Ude, 34. disedari ramai.
Biarpun pelangi mula menerangi hidupnya dengan kehadiran buah hati, Aaron Ibrahim, 3, dan Ali Idrees, 1, hasil perkongsian hidup bersama Ude, dan Muhammad Adrian Umar, 9, zuriat pertamanya sebelum ini, Izreen tidak terlepas daripada diterjang netizen.
Ada sahaja yang tidak kena dan menjadi bahan kritikan. Terbaharu, dia dituduh tidak mencuci pakaian kotor dua anak tirinya Arish Muqri, 7, dan Ariq Muqri, 5, ketika mereka menghabiskan masa bersama bapa mereka baru-baru ini.
Berang dengan tuduhan melulu dan tidak berasas, Izreen menyelar tindakan netizen berkenaan sebagai tidak bijak.
Bahkan, Ude turut tampil mempertahankan Izreen dengan menjelaskan, sebagai isteri, wanita itu melakukan semua kerja rumah dan seorang ibu tiri degan baik.
“Saya malas hendak memberi komen perkara yang tidak memberi faedah. Biasalah netizen ada sahaja kesalahan kita yang mereka nampak.
“Walhal perkara itu tidak benar dan mereka sesuka hati membuat tuduhan. Biasanya saya biarkan sahaja, tetapi sekali-sekala perlu juga mengajar mereka supaya tidak biadap,” luah Izreen.

Ditebak adakah dia lelah melayan kerenah netizen yang tidak henti menghentamnya. Jawab Izreen, sejak membuat keputusan untuk terjun dalam bidang lakonan, dia sedar perkara seperti ini adalah asam garam dunia seni.
Sungguh pun begitu, sabar seseorang pasti ada limitnya dan dia juga manusia biasa yang memiliki hati dan perasaan.
“Sebenarnya saya tidak kisah tentang kritikan atau kecaman orang. Bukan mereka yang memberi rezeki kepada saya, tetapi Allah.
“Cuma harus diingat jangan menghentam keterlaluan ibarat anda begitu suci daripada dosa. Seperti isu baru-baru ini memang agak kelakar soal basuh pakaian sahaja.
“Mungkin orang yang mengkritik itu mempunyai banyak masa terluang dan bosan. Jadi, saya harap perkara ini menjadi pengajaran supaya jangan membuat fitnah dan tuduhan melulu sebelum memastikan kesahihan sebenar,” tutur Izreen.

Lakonan
Beralih bicara tentang lakonan, kali terakhir kelibat wanita berusia 37 tahun itu dilihat dalam televisyen adalah menerusi drama Hilangkah Janji Kita pada 2021.
Sejak itu, Izreen yang kini ibu kepada tiga orang anak dan dua anak tiri dilihat lebih selesa bergelar suri rumah tangga dan ahli perniagaan.
Namun begitu, akui Izreen lakonan adalah jiwanya, tetapi buat masa ini tanggungjawab terhadap rumah tangga dan perniagaan yang diusahakan menjadi keutamaannya.
“Sudah tentu saya rindu untuk berlakon. Jiwa lakonan itu masih ada. Tidak mungkin saya akan lupakan karier yang menjadi sumber rezeki hampir 17 tahun.
“Cuma buat masa ini anak-anak masih kecil dan memerlukan perhatian. Jadi, saya memilih untuk lebihkan masa bersama mereka selain berniaga produk kecantikan di bawah jenama Loleaf,” ujar Izreen.
Izreen bagaimanapun tidak menolak untuk kembali berlakon jika ada tawaran yang bersesuai dengan watak dan masanya.
“Saya masih menerima tawaran lakonan kerana bukannya berhenti berlakon. Cuma sebagai ibu saya harus bersikap selektif.
“Jika penggambaran yang tidak mengambil masa panjang seperti telefilem, saya boleh terima, tetapi jika drama berepisod yang menelan masa berbulan-bulan saya tidak dapat memberi komitmen,” tuturnya lagi.
Jelas bintang drama Ahli Mesyuarat Tingkap itu, dia harus bijak membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya memandangkan tidak mempunyai pembantu rumah.
“Saya lebih suka melakukan semua kerja sendiri. Pernah ada pembantu rumah sebelum ini, tetapi dengan pelbagai kes saya berasa agak bimbang untuk meninggalkan anak bawah jagaan orang lain,” kongsi Izreen.

Populariti
Ditebak tidakkah dia berasa bimbang andai dilupakan peminat kerana sudah terlalu lama tidak muncul dalam kaca televisyen ditambah dengan kemunculan begitu ramai pelakon baharu.
Menjawab kepada persoalan tersebut selepas hampir dua dekad dalam industri lakonan, populariti bukanlah keutamaannya.
“Tidaklah rasa tergugat, industri lakonan memerlukan pelapis yang baharu. Tidaklah bosan asyik-asyik wajah pelakon yang sama di televisyen,” ujarnya yang ditemui pada acara Car Boot Sale di DXN Cyberville, Cyberjaya baru-baru ini.
Sambung wanita kelahiran Kangar, Perlis itu, kini naskhah-naskhah yang berat menjadi pilihannya.
“Berdasarkan pengalaman dan usia, saya sudah berada di tahap berbeza dalam lakonan. Tidak mungkin saya akan berlakon drama cinta seperti dahulu.
“Andai kembali berlakon, saya akan pastikan watak yang diterima itu sesuai dengan kematangan dan usia saya. Saya lebih gemar drama bergenre berat, tetapi komedi pun saya okey,” luah Izreen.
Mengimbas kembali perjalanan kehidupannya sepanjang tahun 2022 banyak pencapaian yang tidak sangka mampu dikecapinya.
Selain perniagaan produk kecantikan wajahnya yang semakin berkembang, kehidupannya kini juga lebih tenang.
“Tahun 2022 banyak kemanisan buat saya. Alhamdulillah, perniagaan kecantikan iaitu Loleaf menunjukkan perkembangan yang baik.
“Kehidupan keluarga juga semakin bahagia dan tenang. Kami juga baru sahaja pindah ke kediaman yang lebih selesa untuk anak-anak.
“Diharapkan tahun 2023 akan lebih manis buat saya dan keluarga. Buat peminat yang tidak berhenti memberi sokongan dan rindukan lakonan saya, Insya-Allah saya pasti akan kembali bersama naskhah yang bersesuai pada masa depan,” kata Izreen menutup bicara.















