fbpx

Fikir baik buruk sebelum kongsi video

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Pada masa ini, semua orang begitu ghairah untuk menjadi yang pertama berkongsi sesuatu berita, gambar atau video tentang isu yang hangat diperkatakan di media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.

Mereka akan berasa bangga jika dapat berbuat demikian seolah-olah memenangi acara larian 100 meter tanpa mempedulikan kesan yang terpaksa ditanggung pihak lain kesan daripada perbuatan tersebut.

Jika sesuatu perkara atau isu itu baik dan memberi manfaat kepada banyak orang, silakan kongsi sebanyak manapun kerana ia akan memberikan faedah kepada masyarakat.

Apa yang menjadi masalah adalah, jika membabitkan perasaan orang lain, terutama ahli keluarga mangsa kalau melibatkan kematian tragis.

Contoh terbaharu adalah berkaitan kematian tiga beradik yang terkena renjatan elektrik sewaktu musim banjir di salah satu lokasi di Kelantan baru-baru ini.

Ramai terkejut apabila satu video yang dikongsi berlegar-legar di laman sosial memaparkan dengan jelas keadaan ketiga-tiga mangsa terbaring kaku tidak bernyawa di dalam air di hadapan rumah mereka selepas kejadian.

Banyak pihak marah dengan tindakan pengguna yang berkongsi video berkenaan kerana dianggap tidak menghormati sensitiviti keluarga mangsa yang sedang bersedih atas kehilangan orang tersayang.

Dalam hal ini, mereka perlu bertindak dengan fikiran waras tidak berkongsi video itu sesuka hati yang boleh mengguris perasaan keluarga mangsa.

Apa perasaan mereka, jika perkara sedemikian berlaku melibatkan ahli keluarga atau sanak-saudara sendiri dan orang lain pula melakukan perkara sama dengan menyebarkan gambar atau video hingga menjadi tular ke seluruh alam.

Dalam hal ini, kita perlu meletakkan diri di tempat keluarga mangsa yang tidak suka melihat gambar atau video sesuatu kejadian tragis tersebar kerana seolah-olah mencurah garam ke tempat luka.

Selain itu, sering juga disebarkan oleh ramai orang adalah gambar-gambar mangsa yang maut dalam keadaan mengerikan selepas terbabit dengan kemalangan jalan raya.

Ini semua mengundang kemarahan dan kesedihan melampau di pihak keluarga mangsa terlibat.

Jangan disebabkan mencari banyak Like daripada pengguna laman sosial, kita mendapat dosa ‘percuma’ tanpa kita sedari.

Bertindaklah dengan bijak tanpa mengguris hati orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI