fbpx

Bekas kakitangan SUK Pahang didakwa ubah suai kandungan sistem pengurusan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH, Mohd. Isa Mohd Yusof (tiga dari kiri) dan Muhammad Amer (dua dari kiri) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Dua bekas kakitangan Pejabat Setiusaha Kerajaan (SUK) Pahang mengaku tidak bersalah atas 29 pertuduhan mengubahsuai kandungan laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang tanpa kebenaran.

Tertuduh, Mohd. Isa Mohd Yusof, 36, berhadapan dengan 26 pertuduhan memasukkan nama 26 individu pelbagai bangsa termasuk warga asing berusia antara 34 hingga 61 ke dalam laman sesawang berkenaan.

Manakala seorang lagi tertuduh, Muhammad Amer Syafeeq Aziz, 30, berhadapan dengan tiga pertuduhan memasukkan tiga nama individu ke dalam laman sesawang tersebut.

Mohd. Isa hadir ke mahkamah tanpa diwakili peguam manakala Muhammad Amer diwakili peguam yang mana kedua-dua mereka minta dibicarakan atas kesemua pertuduhan yang dibacakan dihadapan Hakim, Maimoonah Aid.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Fathin Nadhirah Kasim.

Menurut kertas pertuduhan kedua-dua tertuduh didapati tanpa kuasa menggunakan nombor pengenalan mereka untuk memasukkan nama 29 individu ke dalam laman sesawang sistem pengurusan darjah kebesaran dan pingat negeri Pahang sebagai penerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) dan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) daripada Sultan Pahang.

Mohd. Isa didakwa melakukan perbuatan terbabit sebanyak 26 kali bermula pada 19 Februari 2020 sehingga 12 Oktober 2021 manakala Muhammad Amer dituduh melakukan kesalahan sama sebanyak tiga kali bermula 18 Ogos 2021 sehingga 4 Oktober 2021 bertempat di Pejabat SUK Pahang.

Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 (1) Akta Jenayah Komputer 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 5(4) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan di mana Mohd. Isa dikenakan wang jaminan RM130,000 manakala Muhammad Amer sebanyak RM15,000.

Hakim memutuskan 13 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI