fbpx

[VIDEO] Ribuan ‘serbu’ Kuala Sungai Baru cari mentarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai menyelam untuk mendapatkan mentarang yang banyak di perairan Kuala Sungai Baru, Kuala Perlis pada semalam.

KUALA PERLIS – Suasana di perairan Kuala Sungai Baru, di sini meriah bagaikan pesta selepas diserbu ribuan pengunjung yang mahu menyelam bagi mendapatkan mentarang di situ sejak beberapa hari lalu.

Penduduk, Hamzah Ahmad, 62, berkata, perairan tersebut menjadi tumpuan penduduk setempat dan pengunjung dari Kedah berikutan jumlah mentarang yang banyak ketika ini.

“Kawasan ini kembali menjadi tumpuan orang ramai untuk mencari mentarang selepas tiga tahun. Ini kali pertama orang ramai ‘menyerbu’ perairan ini selepas pandemik Covid-19 melanda negara.

“Berpuluh-puluh bot nelayan akan berlabuh mengikut jajaran ban alur pelayaran dari muara menuju kira-kira satu kilometer ke tengah laut bagi mengutip sendiri hasil laut itu menggunakan tangan,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Tinjauan mendapati orang ramai termasuk golongan remaja dan wanita mengutip hasil laut itu dengan menyelam pada takat kedalaman air laut paras pinggang manusia dewasa.

Siput mentarang atau nama saintifiknya Pholas orientalis merupakan sejenis hidupan marin bercengkerang yang boleh dimakan, mempunyai kulit nipis dan gemar air laut bersuhu rendah serta banyak didapati di Kuala Perlis dan Sabak Bernam, Selangor.

Kata Hamzah, aktiviti itu biasa dilakukan pada sebelah petang ketika air mulai surut dan penyelam mentarang akan turun ke dalam laut bagi merasa kehadiran hidupan laut itu dengan menggunakan kaki.

“Mereka kemudian akan menyelam dan mengutip hidupan laut itu menggunakan tangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI