CANTIK dan Rozita Che Wan umpama satu pakej istimewa yang tidak boleh dipisahkan. Tidak keterlaluan andai dikatakan pelakon popular itu sebagai ikon dunia hiburan dan kecantikan tempatan.
Biar ramai bakat baharu muncul, nilai eksklusif yang ada dalam dirinya antara yang dipertahankan. Dia enggan dilihat bersepah atau dalam erti kata lain, dirinya ada di mana-mana.
Untuk berada di tahap sekarang, pelakon yang mesra disapa Che Ta itu tidak takut mengakui meletakkan harga sebelum menerima undangan ke majlis.
Baginya, syarat berkenaan bukan menunjukkan sikap gelap mata, sebaliknya turut memberi pulangan berfaedah kepada kedua-dua belah pihak khususnya jika melibatkan perniagaan.

“Sebagai artis yang dibayar untuk mewakili jenama, tampil dalam drama atau filem tentu saja kena jaga nilai eksklusif. Jangan biar nampak di mana-mana dengan mudah.
“Bukan bermaksud kita kena hadkan pergerakan dan pergaulan, cuma saya secara peribadi memang hanya muncul di khalayak andai diperlukan saja seperti ke majlis anugerah.
“Kalau ada syarikat pengeluar produk mahupun penganjur pertunjukan fesyen panggil, saya akan terus terang kenakan bayaran yang munasabah untuk kehadiran.
“Jika tiada penggambaran atau acara pula, saya pilih duduk di rumah sahaja selesaikan urusan termasuk kerja membabitkan syarikat. Tak mahulah nampak muka saya bersepah,” katanya.
Mekap wajib Che Ta
Tidak hairan, setiap kali kemunculan Che Ta dalam mana-mana acara, lensa kamera sentiasa terarah kepadanya yang tampil penuh gaya.
Ditanya rahsia, baginya sejak zaman anak dara lagi dia bersiap seperti mahu ke majlis anugerah biarpun sekadar berjalan-jalan dengan kawan sekolah di kampungnya di Alor Setar, Kedah.
Bahkan ketika belum bergelar selebriti lagi penduduk setempat sudah memanggilnya dengan gelaran artis dek kegilaan dia dan adik-beradiknya berfesyen.
“Memang kami suka bergaya dan berlawan mekap kalau keluar rumah, tetapi paling hebat bersiap tentulah saya sampai orang kampung gelar artis.
“Saya masih ingat, ketika anak sulung darjah satu, masa pergi ambil kad laporan itulah waktu saya melaram. Siap pakai kasut tumit tinggi dengan mata pakai kanta lekap.
“Sekarang pun saya kat rumah masih bermekap untuk suami, cuma tak setebal waktu keluar. Inilah diri saya, bukan Che Ta kalau tak mekap,” tambah personaliti popular itu yang bakal menginjak angka 50, tahun depan.
‘Mahal’ di mata peminat
Bukan nilai eksklusif sahaja yang membuatkan pemilik nama sebenar Rozita Abu Bakar itu tampak ‘mahal’ di mata peminat, sikap mesra tanpa mengira status turut membuatkannya disenangi ramai.
Kelewatannya menyertai industri seni pada usia 33 tahun memberi kelebihan kepada dramatis itu supaya tidak mudah lupa diri atau berlagak diva.

“Lebih 17 tahun mengharungi suka duka sebagai anak seni saya sentiasa mengingatkan diri supaya jangan sombong atau memandang orang lain sebelah mata.
“Contoh terdekat terjadi di set penggambaran ketika awal pembabitan saya apabila berdepan bintang diva yang punya ‘attitude’ selain isu disiplin hingga timbulkan masalah kepada produksi, kru dan pelakon lain.
“Melihat situasi lalu selain beberapa kali berdepan individu bersikap serupa pada era sekarang membuatkan saya selalu ingatkan diri jangan menyombong seperti itu.
“Malah ada saya tengok dalam kalangan kru pun dianaktirikan sedangkan mereka juga memberi sumbangan sama macam pelakon bagi hasilkan sesuatu naskhah.
“Saya tak boleh tengok senario begitu, memang saya buka mulut. Begitu juga di luar, kita jangan memilih-milih untuk bergaul,” luahnya lagi.
Lantang menegur, selektif pilih suasana kerja
Insiden kurang menyenangkan di lokasi penggambaran juga antara punca bintang drama Mem & Bibik Bibik itu lebih selesa bekerja dengan produksi sama.
Tidak peduli dicop sebagai ‘anak emas’ Zeel Production, akuinya kini dia lebih lantang andai ada dalam kalangan pelakon regunya tidak berdisiplin hingga menyusahkan orang lain.
“Bukan saya terlampau selektif sampai tak mahu bekerja dengan produksi lain, tetapi senang berlakon dengan orang yang kita sudah biasa. Zero (kosong) masalah.
“Saya jenis datang set sudah bersiap semuanya, hanya tinggal tunggu pengarah panggil. Apabila ada yang berdegil dan lambat berjam-jam memang saya ‘sound’ tepat.

“Bukan sebab sudah senior, cuma saya wajar ingatkan pelakon jenis sebegini supaya jangan menyusahkan orang lain yang serius dengan amanah digalas.
“Ada juga wakil rumah produksi yang berterima kasih kepada saya buka mulut sebab mereka tak boleh bersuara bimbang pelakon tersebut sentap,” luahnya.
Watak komedi
Sementara itu bercerita mengenai kerjaya lakonan, sudah tiada apa lagi yang mahu dikejar atau dibuktikan Che Ta, sementelah selama ini dia mengambil pendekatan memilih naskhah ringan yang tidak memberatkan emosi.
“Cerita atau watak komedi yang tidak membuatkan emosi saya terganggu. Ada yang tanya, saya tak ingin cabar diri dengan hayati watak berat? Mungkin pada usia ini saya tak kejar semua itu, cukuplah begini saja.
“Saya selesa macam ini, berseronok dengan kisah komedi. Apa pun saya tetap sedia bawa watak agak berat macam dalam drama bersiri 40 episod baru-baru ini, Jesnita.
“Sesekali tidak mengapa dan kalau produksi lain nak tawarkan karakter serupa, silakan. Andai plotnya bagus, kenapa saya perlu tolak?” ulas Che Ta.
Fokus 2023
Bahagia di sisi suami, Zain Saidin, anak perempuan mereka, Aaisyah Dhia Rana, 8, serta dua putera, Ammar Effendy, 26, dan Aniq Ezra, 24, hasil perkahwinan terdahulu, kehadiran 2023 diharap Che Ta terus memberikan sinar kepada keluarga, kerjaya seni serta bisnes yang diusahakan.

“Saya bersyukur dengan limpahan kurnia Allah SWT yang tidak putus-putus. Ini juga rezeki anak-anak, berkat doa serta sokongan suami bersama seisi keluarga.
“Menjelang kehadiran 2023 saya dan pasukan sudah sedia untuk tampil dengan produk baharu. Begitu juga dengan lakonan, saya masih ingin berlakon biarpun bukan serancak dulu.
“Fokus kepada anak dan keluarga juga di carta teratas terutamanya Aaisyah. Alhamdulillah semuanya berada di landasan yang diinginkan,” ucap Che Ta menutup bicara.














