fbpx

RM50 juta selenggara sekolah terjejas banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina (tengah) beramah mesra dengan penduduk di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Nibong Tebal, hari ini. - Foto IQBAL HAMDAN

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) memperuntukkan RM50 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan sekolah yang terjejas akibat bencana banjir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sekolah-sekolah yang mengalami kerosakan akan dibaiki segera bagi memastikan pembelajaran murid-murid tidak terjejas.

“KPM peruntukan penyelenggaraan lebih kurang RM50 juta dan kita akan gunakannya sebaik sahaja menerima laporan daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) berkaitan kerosakan yang berlaku di sekolah-sekolah.

“Kita memang sudah bersedia dan mengarahkan mereka untuk memantau sekolah yang terkesan supaya bantuan penyelenggaraan boleh disegerakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat 287 sekolah di seluruh negara yang terkesan dengan bencana itu dan daripada jumlah terbabit, 205 sekolah sudah pulih manakala 82 sekolah lagi masih dilanda banjir.

Selain itu, sebanyak 322 sekolah dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seluruh negara yang mana 173 PPS sudah ditutup manakala 149 PPS masih dibuka.

Mengulas lanjut, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal walau bagaimanapun berkata, sesi persekolahan di kawasan yang tidak terkesan dengan bencana banjir akan bermula seperti yang dijadualkan.

“Kita mengadakan banyak perbincangan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) berhubung situasi semasa dan langkah yang perlu dipertimbangkan sekiranya ia berterusan.

“Bilik gerakan banjir turut memantau situasi terkini dan kita akan minta khidmat nasihat daripada Nadma meliputi pelan alternatif, sama ada pembukaan sekolah akan ditangguhkan atau bergantung kepada keadaan semasa.

“Sekiranya banjir lambat surut, PPS akan terus beroperasi seperti yang dijadualkan, tetapi pada masa yang sama kita tetap mengutamakan isu keselamatan dan kebajikan murid guru dan sekolah yang terlibat,” katanya.

Terdahulu, beliau turut meluangkan masa lebih tiga jam bersama masyarakat setempat di pusat khidmat di Nibong Tebal bagi mendengar permasalahan rakyat untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI