fbpx

Lelaki didakwa tampar ibu berkali-kali, pukul anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan menampar muka ibu kandungnya berkali-kali, mencederakan anak saudara dan mengugut menoreh muka adik perempuannya, minggu lalu.

Tertuduh, Mohmad Saufian Abu Noor, 41, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd. Suleiman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada ibu kandungnya berusia 69 tahun dengan cara menampar muka mangsa berkali-kali.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada anak saudaranya yang berumur 10 tahun dengan cara menampar pipi serta menarik rambut mangsa.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh di antara pukul 10.30 pagi sehingga pukul 12 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Tengah, Bukit Rambai dalam daerah Melaka Tengah, pada 15 Disember lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 326A akta sama.

Tertuduh juga didakwa telah melakukan ugutan jenayah terhadap ibu kandungnya dengan menakutkan untuk menoreh muka adik perempuannya berusia 32 tahun pada waktu, tempat dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri tidak menawarkan sebarang jaminan atas faktor tertuduh mempunyai beberapa rekod jenayah lampau dan telah dijatuhi hukuman.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan baharu sahaja dibebaskan dari penjara pada Mei lalu atas kesalahan mencuri kenderaan mewah.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, mahkamah bersetuju dengan permohonan dikemukakan pihak pendakwaan dan menetapkan tarikh 2 Februari depan bagi serahan dokumen dan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI