fbpx

Penduduk santai, makan nasi berlauk dalam banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penduduk Kampung Kubang Batang, Tumpat tetap menjamu selera dengan menikmati hidangan nasi berlauk di sebuah kedai makan meskipun air banjir masuk ke dalam premis.

TUMPAT – Sebuah kedai makan yang menjual nasi berlauk di sini beroperasi seperti biasa meskipun premisnya dimasuki air ekoran banjir yang melanda Kampung Kubang Batang di sini sejak semalam.

Pelanggan tetap menikmati nasi berlauk gulai ayam dan ikan tongkol seperti biasa semasa air bah setinggi 0.2 meter masuk di dalam kedai itu.

Pemilik kedai makan, Rohani Zakaria, 53, berkata, dia terpaksa meneruskan perniagaannya hari ini kerana separuh lauk-pauknya sudah siap dimasak malam tadi.

“Saya teruskan jualan hari ini seperti biasa meskipun terpaksa berniaga dalam banjir.

“Alhamdulillah, nasi dan lauk-pauk habis terjual malah ada yang tetap makan di dalam kedai saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.

Menurut Rohani, air mula naik di kawasan kampung itu kira-kira pukul 11 malam tadi selepas hujan lebat sekali gus menyebabkan pekarangan rumah kedainya digenangi air.

Katanya, dia tidak menjangkakan air masuk ke dalam kedai kerana banjir tidak pernah memasuki premisnya apabila hujan lebat sejak 17 tahun berniaga di situ.

Salah seorang pelanggan, Mohd. Nor Omar, 48, berkata, banyak kedai makan tutup semasa musim banjir sehingga menyebabkan penduduk kampung sukar untuk membeli makanan.

“Mujur ada kedai makan Rohani buka hari ini. Dapat juga saya membeli nasi untuk keluarga kerana mereka sibuk mengemas rumah yang dinaiki air,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI