KETIKA ada selebriti yang mengejar nama dan populariti untuk kekal relevan dalam industri hiburan, pengacara Nana Mahazan sebaliknya lebih memilih bergerak menjadi sukarelawan melaksanakan misi-misi bantuan.
Meskipun mula bergiat aktif dalam dunia seni sewaktu menyertai program realiti Akademi Fantasia musim pertama (AF1) pada 2003, Nana lebih selesa dengan kehidupan serba sederhana.
Penglibatannya sebagai sukarelawan semakin rancak selepas dia tampil dengan imej berhijab tahun lalu dan menyertai pasukan Muslim Volunteer Malaysia (MVM).
Penyertaannya turut menyaksikan dia diangkat menjadi ikon MVM pada awal tahun ini dan menerima tawaran untuk menyertai Misi Bantuan Musim Sejuk Untuk Pelarian Syria di Jordan.
Bagi Nana atau nama lengkapnya Nurul Hana Che Mahazan, dia sebak apabila ditawarkan menjadi sebahagian daripada pasukan yang akan berangkat ke Syria.
“Tidak pernah terfikir saya akan terpilih untuk menyertai misi ke Syria. Apabila MVM mendekati saya, terus saya bersetuju.
“Saya sangat tersentuh kerana berpeluang menjadi sebahagian daripada misi ini sebab saya selalu fikir diri ini bukan siapa-siapa,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui semasa majlis minum petang Bantuan Musim Sejuk Pelarian Syria Di Jordan baru-baru ini.

Ditebak mengenai tujuannya menyertai misi bantuan tersebut tanpa pengaruh daripada rakan artis, selebriti berusia 39 tahun itu ingin meninggalkan impak baik dan membuka mata rakyat Malaysia.
“Sudah semestinya saya mahu meninggalkan kesan kepada komuniti walaupun saya bukan siapa-siapa.
“Tidak semua orang di sana terbuka berkongsi tentang kehidupan peribadi mereka dan saya akan berusaha kumpul kisah mereka untuk dibawa balik.
“Saya sangat bersyukur menjadi ikon MVM sehingga mendapat peluang sebegini. Saya terima tawaran ini bukan disebabkan pengaruh daripada rakan artis. Dengan pengalaman yang dikumpul, saya akan cuba untuk mendekati ramai orang,” luahnya.
Persetujuan ibu kepada dua anak itu menyertai pasukan tersebut dibuat atas keprihatinannya meninjau keperitan hidup rakyat Syria yang berteduh di bumi Jordan.
Maka misinya adalah untuk mengumpulkan video-video khas bagi membuka mata rakyat Malaysia untuk terus menyalurkan bantuan.
“Misi kami untuk menyentuh hati rakyat Malaysia dengan kisah mereka yang hidup sebagai pelarian, bukan sahaja membantu meringankan beban. Kekuatan saya selaku selebriti mampu mempengaruhi dan memberi kesedaran kepada ramai orang.
“Kami akan kumpul kandungan yang boleh dibawa balik untuk disebarkan. Pada masa sama dapat membuka lebih banyak mata untuk ramai membantu,” jelasnya.
Restu suami, ibu bapa
Berkongsi detik penerimaan tawaran ke Jordan, selebriti kelahiran Johor itu langsung bersetuju tanpa berfikir panjang atau berbincang terlebih dahulu bersama ahli keluarga.
“Selepas terima tawaran tersebut dan tengok video keadaan di sana, saya jadi ragu-ragu. Memandangkan negara tersebut sedang bergolak dan takut orang boleh buat serangan hendap.
“Tetapi pelawaan sebegini bukan datang selalu, jadi saya ambil peluang yang terbuka di depan mata dan bersedia untuk berangkat ke sana,” kongsinya.

Tidak membelakangi keluarga, Nana berkongsi berita gembira tersebut dengan suami, Raqeem Brian Abdullah. Malah, dia juga meminta restu daripada kedua-dua ibu bapa supaya perjalanannya dipermudahkan.
“Selepas bersetuju dengan tawaran MVM, saya tidak berbincang dahulu dengan suami. Selepas balik saya memaklumkan kepadanya, dia okey.
“Dia sangat berbangga dengan saya dan saya tidak lupa meminta restu ibu bapa.
“Bukan sahaja mengambil keberkatan suami, saya juga sangat memerlukan restu orang tua kerana mereka selalu ada menyokong saya sejak dikeji pada zaman AF1,” katanya.
Sebar dakwah
Peluang tersebut sekali gus membuatkan hasrat pengacara dan juga usahawan itu menyebarkan dakwah kepada orang sekeliling lebih kuat.
Bagi Nana, kebaikan yang dibuat bukan untuk dipamerkan, malah dia berazam agar dapat mengubah pemikiran seseorang ke arah lebih baik.
“Dengan cara yang betul, kita tidak tahu nasib atau kehidupan siapa yang dapat diubah bukan sahaja dari segi agama tapi sifat kemanusiaan.
“Sekurang-kurangnya saya sudah melakukan bahagian sendiri. Daripada nak menunggu perubahan tersebut berlaku dengan sendirinya, lebih baik saya yang mula bergerak. Tidak kisahlah andainya yang terkesan nanti hanyalah seorang,” katanya.

Tambah bekas pengacara program Mic ON! itu lagi, meskipun masih teragak-agak untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut, dia sangat teruja apabila memikirkan manfaat yang akan diberikan kepada rakyat negara ini kelak.
“Kalau bercakap mengenai persediaan, saya masih ragu-ragu sama ada mampu untuk melakukan misi ini atau tidak tetapi saya ambil sebagai cabaran.
“Secebis usaha untuk membantu saudara kita sangat bermanfaat dan berguna sekurang-kurangnya dapat menjadi teladan buat anak-anak, kawan-kawan ataupun pengikut sosial media.
“Jika saya mampu memberi aspirasi untuk melakukan kebaikan walaupun kepada seorang sahaja, nanti saya boleh bentang di hadapan Allah,” ujarnya penuh makna.
Pemergian Nana ke Jordan selain bertujuan menyebarkan dakwah, dia juga sudah bersedia untuk berada di negara tersebut walaupun sedar keadaan yang akan sibuk di sana.
Segalanya dikorbankan Nana termasuk meninggalkan keluarga demi mengumpul pengalaman untuk dibawa balik ke Malaysia.













