fbpx

48 PATI ditahan tinggal secara haram di tapak pembinaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara PATI ditahan dalam serbuan di sebuah tapak pembinaan di Dengkil pagi semalam.

PUTRAJAYA- Taktik seramai 48 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang menetap secara haram di kawasan tapak pembinaan di Dengkil, Selangor terbongkar apabila kesemua mereka ditahan Jabatan Imigresen Malaysia dalam satu serbuan pada pukul 1.30 pagi semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, seramai 25 lelaki dan lima wanita warganegara Indonesia ditahan selain 12 lelaki warganegara Bangladesh, lima lelaki warganegara Myanmar dan seorang wanita warganegara Vietnam.

“Dalam operasi itu seramai 63 orang warga asing telah diperiksa dan hasilnya seramai 48 orang PATI berumur 18 hingga 53 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka dipercayai tinggal di penempatan tersebut bagi mengelakkan dari dikesan daripada pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Katanya, terdapat juga cubaan meloloskan diri oleh PATI terlibat dalam Operasi Penguatkuasaan Bersepadu bersama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu ketika dikejar pegawai terlibat.

“Semasa serbuan dilakukan, terdapat cubaan daripada beberapa PATI yang ingin meloloskan diri daripada ditahan pegawai imigresen.

“Penempatan ini berada di kawasan permukaan bumi yang tidak rata serta berlumpur ditambah dengan dipenuhi besi serpihan pembinaan, mendatang risiko kecederaan yang tinggi kepada semua pegawai yang terlibat,” jelasnya.

Katanya, semasa cuba mengejar dan menahan PATI, seorang pegawai operasi turut cedera di bahagian lutut dan kaki akibat terkena besi tajam serpihan pembinaan.

“Bagaimanapun kesemua PATI berjaya ditahan kerana kesemua laluan keluar dari penempatan ini telah dikepung lebih awal.

“Kesemua tahanan ini akan ditempatkan di Depot Imigresen Lenggeng, Negeri Sembilan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI