fbpx

Pencarum Perkeso dua daerah di Kelantan terima bayaran faedah RM4.2 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Azran (kanan) dan Mohd. Syahbuddin (dua dari kanan) menyampaikan bantuan lampin pakai buang kepada keluarga Muhammad Asyraf di Kampung Lepan Jaya, Gua Musang hari ini. -Foto AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sudah membuat pembayaran faedah berjumlah RM4.2 juta kepada pencarum yang layak di dua daerah di Kelantan bermula Januari hingga November lalu.

Pengurus Pejabat Perkeso Kuala Krai, Mohd. Azran Che Nuri berkata, jumlah itu membabitkan 1, 726 kes bagi daerah Kuala Krai dan Gua Musang termasuk jajahan kecil di Lojing.

Katanya, kes itu daripada pelbagai kategori seperti Faedah Hilang Upaya Sementara, Faedah Hilang Upaya Kekal, Faedah Hilang Upaya Berpukal dan Berkala, Faedah Orang Tanggungan, Faedah Pencen Ilat, Faedah Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah.

“Bagi Skim Keilatan, kelayakan umur pencarum adalah sebelum 60 tahun dan Skim Bencana Pekerjaan pula tiada had umur.

“Kita berharap semua majikan untuk terus mencarum seperti yang ditetapkan di bawah Akta 4 (Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969) dan Peraturan-Peraturan Am dan Keselamatan Sosial Pekerja 1971,” katanya kepada pemberita di Kampung Lepan Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Azran bersama Skuad Perkeso Prihatin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim menyerahkan Bantuan Pemulihan kepada Orang Berinsurans (OB), Muhammad Asyraf Ismail, 24, di Kampung Lepan Jaya di sini.

Muhammad Asyraf yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang kini terlantar di rumahnya terpaksa bergantung kepada bantuan tabung oksigen untuk terus bernafas selepas disahkan menghidap penyakit kuman dalam paru-paru dan otak.

Sementara itu, ibunya, Norizan Mahasan, 54, berkata, Bantuan Pemulihan Perkeso seperti lampin pakai buang, susu dan tabung bantuan oksigen meringankan beban mereka sekeluarga.

Katanya, sebelum ini anaknya bekerja di sebuah kilang elektronik dan tidak tahu anaknya mempunyai caruman.

“Saya bersyukur apabila Perkeso tampil memberikan bantuan kepada anak yang masih sakit terlantar.

“Dalam tempoh dua bulan sejak dia sakit, segala perbelanjaan perubatannya dibantu oleh adik-beradik selain duit sedekah daripada jiran dan penduduk kampung lain yang datang menziarahinya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI