fbpx

Laungan terakhir ‘abah, abah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KERETA Suhaimi yang tenggelam di dalam sungai ditarik keluar di Jitra kelmarin.

ALOR SETAR – “Abah, abah, abah, abah, abah!”

Hanya itu mampu dilaungkan Muhammad Khairul Muhaimin, 12, apabila kereta yang dipandu bapanya, Suhaimi Hassan, 37, terhuyung-hayang ke kiri dan kanan sebelum terjunam dan terbalik ke dalam Sungai Korok di Jitra dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.20 petang itu, Muhammad Khairul ditemui mati lemas akibat terperangkap di dalam kereta Proton Saga yang tenggelam di dalam sungai berkenaan.
Bagaimanapun, ibu bapa mangsa iaitu Suhaimi dan Nurul Aqmar Zainol, 35, sempat menyelamatkan diri.

Menurut Suhaimi, sewaktu melalui jalan lurus tersebut, secara tiba-tiba dia terasa seolah-olah keretanya tertarik ke kanan menyebabkan dia memaut stereng ke kiri.

“Selepas itu kereta bergerak ke kiri dan kanan berulang kali sebelum terbabas dan terjatuh ke dalam sungai. Saya dan isteri sempat keluar melalui tingkap sebelum kereta tenggelam sepenuhnya.

“Dalam keadaan cemas selepas membawa naik isteri yang hamil tujuh bulan ke tebing, saya terus teringatkan Muhammad Khairul. Saya berpaling dan kemudian terjun ke sungai, namun kereta tersebut hilang dari pandangan dan tenggelam ke dasar sungai.

“Selepas gagal mencari kereta yang tenggelam, tiada apa mampu saya lakukan selain meminta tolong orang ramai yang melalui jalan tersebut,” katanya.

SUHAIMI HASSAN, 37, menunjukkan gambar anaknya, Muhammad Khairul Muhaimin, 12, yang mati lemas di Sungai Korok, Jitra kelmarin.

Suhaimi yang bekerja sendiri ditemui pemberita ketika me­nunggu jenazah anaknya dibedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini semalam.

Kelmarin, tangisan pilu Suhaimi meruntun hati ramai dengan dia turut dipeluk serta ditenangkan pegawai bomba yang hadir ke lokasi kejadian sebaik mayat anaknya ditemui.

Selain Muhammad Khairul, pasangan itu juga mempunyai dua lagi anak yang berusia sembilan dan dua tahun yang tidak turut serta dalam perjalanan ketika kejadian berlaku.

Jelas Suhaimi, ketika keja­dian, mereka tiga beranak sedang dalam perjalanan dari rumah ibu mentuanya di Tanjung Kapur menuju ke Pekan Jitra untuk membeli susu anak.

Difahamkan, kesemua mereka yang tinggal di Bukit Payung, Pokok Sena bermalam di Tanjung Kapur kerana ibu Nurul Aqmar tidak sihat.

Suhaimi berkata, dia terkilan kerana tidak dapat menyelamatkan Muhammad Khairul dan masih terkejut dengan kejadian itu.

“Telefon saya rosak dan saya langsung tidak berkesempatan memberitahu saudara-mara mengenai kejadian ini dengan mereka sendiri yang tiba untuk menziarah,” ujarnya.

Dia memberitahu, jenazah arwah yang juga pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payung di Pokok Sena akan dikebumikan di Tanjung Kapur selepas selesai proses bedah siasat.

Suhaimi berkata, ketika ini dia masih rasa sakit di belakang badan akibat kejadian itu, manakala isterinya yang turut cedera ringan sedang berada di rumah mentuanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI