fbpx

Saifuddin beri bayangan awal SOSMA boleh dipinda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin Nasution diiringi oleh Ketua Pengarah RELA, Datuk Yahya Sulaiman (kiri) ketika mengadakan lawatan ke Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kompleks D, Putrajaya hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Semua undang-undang yang digubal Parlimen adalah bersifat dinamik dan ia termasuklah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Demikian jawapan tersirat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sambil memberi bayangan awal bahawa akta tersebut juga mungkin boleh sahaja dipinda.

Bagaimanapun dalam nada berlapik, beliau yang baru dilantik memegang jawatan itu pada 3 Disember lalu menjelaskan ia bukanlah bermaksud dikaji balik masa sekarang.

“Cuma kalau ditanya oleh pihak wartawan apakah (SOSMA akan dipinda) sekarang, maka saya jawab, tidaklah ia beri maksud begitu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau melakukan lawatan buat julung kali ke Ibu Pejabat Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dengan turut diiringi oleh Ketua Pengarahnya, Datuk Yahya Sulaiman.

Semalam, Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo meminta Saifuddin agar dapat mempertimbangkan balik pendiriannya mengenai SOSMA yang disifatkan terlalu keras.

Ini termasuk Seksyen 4 akta tersebut yang membenarkan penahanan suspek sehingga 28 hari tanpa bicara di mahkamah kerana mengakibatkan tiada semak dan imbang kuasa.

Ia susulan kenyataan Saifuddin sehari sebelum itu mengakui pihak polis mematuhi segala proses penguatkuasaan SOSMA malah digunakan demi menjamin keselamatan rakyat.

Pandangan Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) itu dikritik penyokong blok tersebut kerana bercanggah dengan pendirian mereka sebelum ini yang mahu SOSMA dikaji semula.

Undang-undang itu mula digubal pada 2012 bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 atau ISA yang boleh dihukum mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mengulas lanjut, beliau mengakui ada menerima panggilan telefon daripada Gobind dan menegaskan bahawa prinsipnya bahawa semua undang-undang tidak kekal selamanya.

“SOSMA pun begitu dan ia bersifat dinamik yang boleh dipinda pada bila-bila mengikut keperluan kerana setiap akta digubal selama ini bukanlah sempurna langsung,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta masyarakat agar tidak salah faham dengan kenyataannya yang pernah mengakui bahawa SOSMA adalah lebih baik berbanding ISA dan Ordinan Darurat.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI