fbpx

Guna dron siasat aktiviti seleweng diesel dalam ladang ternakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
S. Jegan (dua dari kanan) menunjukkan beberapa tangki minyak dipercayai diesel bersubsidi yang berjaya dirampas dalam satu serbuan di Valdor, Simpang Ampa, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri berjaya menumpaskan satu kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi yang berselindung di sebalik ladang ternakan di Valdor, Simpang Ampat, di sini hari ini.

Pengarahnya, S. Jegan berkata, ini susulan satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan anggota KPDN negeri terdiri daripada 11 orang penguatkuasa kira-kira pukul 11 pagi tadi.

Menurutnya, terdahulu, pihaknya berjaya menahan seorang pemandu lori warga tempatan berusia 31 tahun semasa memindahkan diesel dari tangki sebuah lori tanah seberat 12 tan ke dalam tangki plastik di lokasi berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat 18 buah tangki plastik berkapasiti 1,000 liter setiap satu di situ dengan sebahagian besarnya berisi diesel.

“Secara keseluruhannya, pihak KPDN Pulau Pinang berjaya merampas dan menyita dua buah lori iaitu masing-masing sebuah lori tanah seberat 12 dan tiga tan serta diesel sebanyak 10,400 liter.

“Turut dirampas adalah kesemua 18 unit tangki plastik tersebut, dua unit motor pam selain masing-masing satu unit pam hos dan telefon mudah alih dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM92,560,” katanya kepada pemberita di sini.

Dalam pada itu, Jegan berkata, pihaknya mengambil masa selama seminggu untuk menjalankan risikan memandangkan lokasi serbuan itu terletak di kawasan yang agak terpencil.

Justeru katanya, khidmat dron terpaksa diguna pakai bagi melancarkan penyiasatan di kawasan ladang ternakan itu yang pemiliknya dipercayai mempunyai pertalian persaudaraan dengan individu yang dipercayai terlibat dengan penyelewengan diesel bersubsidi terbabit.

“Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penalti sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Sementara itu, bagi kesalahan kedua dan seterusnya pula, seseorang individu itu boleh didenda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI