fbpx
ADINIA WIRASTI

Dua bulan Adinia Wirasti selami watak dicurangi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERTEMU empat mata dengan figura bernama Adinia Wirasti bagi mempromosikan naskhah terbaharu lakonannya berjudul Mendua di Kota Singa adalah satu perihal yang sangat membahagiakan.

Durasi temu bual eksklusif cuma enam minit, namun kandungan bicaranya padat dengan apa yang sewajarnya diberikan dari sudut pandang anak seni kepada posisi atau kedudukan orang yang profesinya mewawancara (wartawan).

Adinia atau mesra disapa sebagai Asti sosoknya sangat pantas, bijaksana dan petah dalam membuahkan aksara kata.

Analisis ‘dua bulan’

Diajak ‘ngobrol’ tentang permainan karakternya sebagai Doktor Sekar M. Atmajaya dalam siri Mendua yang diadaptasi daripada siri Amerika Syarikat, Doctor Foster, dia ternyata senang dan penuh ‘taktikal’ membawakan karakter tersebut.

Dalam usaha memanusiakan peranan disebutkan itu, dia mengambil masa lebih kurang dua bulan sebagai persediaan sebelum turun ke set penggambaran.

KATA Adinia, sepanjang 60 hari penggambaran Mendua banyak menguji emosi dan mentalnya.

“Saya ada dua bulan lebih sebelum menjalani penggambaran. Untuk saya secara peribadi, watak Dr. Sekar memerlukan saya bukan semata-mata berlakon tapi menganalisis karakter itu lebih mendalam.

“Menganalisis lakon layar untuk lapan episod siri ini dari segi struktur dan apa yang boleh dicernakan daripada karakter Dr. Sekar. Analisis cerita agak ‘ganas’ untuk siri ini (ketawa).

“Pengarah, Pritagita Arianegara sangat memberi kebebasan kepada pelakon terlibat termasuk saya. Dapat bekerja dan berkongsi idea dengannya satu pengalaman luar biasa.

“Saya menyelinap masuk ke dalam naratif kehidupan Doktor Sekar. Tentang zaman kanak-kanak, trauma dan hidup dewasanya demi memastikan watak tersebut dicernakan baik dalam siri Mendua.

“Untuk semua itu berlaku, dia memerlukan masa dan usaha. Termasuk dari segi bagaimana apa yang berlaku dalam hidupnya memberi kesan domino dalam setiap tindakan termasuk perhubungan dengan suaminya,” katanya kepada HibGlam.

Mula dikenali ramai menerusi karakter Karmen dalam filem Ada Apa Dengan Cinta? pada 2002, aktres berusia 35 tahun itu berkata, peluang memainkan karakter Doktor Sekar adalah satu pengalaman yang sangat berbeza berbanding semua watak yang pernah dimainkan sebelum ini.

Susahkan kawan ‘doktor’

Kata Adinia, dia mendapati dirinya adalah seorang pelakon yang cenderung untuk tidak ‘memandang kembali’ karakter-karakter yang pernah dibangunkan sepanjang kariernya.

“Saya berpendapat bahawa diri saya adalah seorang yang sangat selesa untuk tidak ‘terpenjara’ dalam karakter-karakter lama dengan tanggungjawab (watak) baharu.

“Senang cerita, kalau masuk set penggambaran baharu, saya ‘kosongkan’ diri. Sebab perbuatan itu bagus dan adil untuk apa yang akan dipertontonkan kepada audiens.

“Sejujurnya, saya juga belum berkesempatan menonton siri ini (ketawa) tapi ini merupakan pertama kali saya memainkan peranan sebagai doktor dan itu sangat-sangat mengujakan,” jelas graduan New York Film Academy (NYFA) itu.

DUA bulan tempoh diperuntukkan Adinia bagi menyelami karakter Dr. Sekar dalam Mendua.

Perdana kali menterjemah karakter sebagai seorang doktor, Adinia mendedahkan dia terpaksa menyusahkan ramai rakannya yang berkelana dalam profesion tersebut.

“Saya terpaksa menelefon rakan-rakan ‘doktor’ tanya macam-macam. Tanya dan mendapat penerangan yang tuntas tentang terma perubatan dan sebagainya,” tutur Adinia.

Andai dicurangi, Anwar Ibrahim

Ditebak pertanyaan rawak apa akan dilakukan sekiranya dicurangi orang tersayang seperti apa dialami Sekar, Adinia menjawab, dalam mana-mana perhubungan yang sihat, komunikasi adalah tunjang yang paling penting.

“Komunikasi itu kunci yang penting. Cuba untuk kenal pasti apa masalah yang merosakkan sesuatu perhubungan dan jangan buat keputusan pada saat emosi menguasai minda.

“Tapi saya faham, bukan senang untuk membiarkan minda waras ketika emosi menguasai.

“Kita cuba sedaya mampu untuk tidak membuat keputusan pada ketika emosi sedang merajai supaya apa yang berlaku selepas itu, tidak disesali,” ujar Adinia serius.

ADINIA memerankan watak seorang wanita yang dicurangi suaminya dalam Mendua.

Sebelum menggulung wawancara, sempat dilayangkan pertanyaan kepada aktres itu yang sangat mendukung keras semangat demokrasi dan kebebasan bersuara tentang pertukaran kerajaan di Malaysia yang kini dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ditanya sama ada dirinya mengenali susuk bernama Anwar Ibrahim, Adinia mengangguk, namun membalas dengan senyuman: “Kalau boleh saya nak bercakap tentang itu (Anwar dan demokrasi), namun untuk hari ini, saya hanya ingin memberi buah fikiran tentang projek Mendua.

“Mungkin kita boleh bercakap tentang itu pada hari atau acara yang lain.”

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN