fbpx
REKA bentuknya turut diilhamkan daripada keris dan tengkolok sebagai usaha memartabatkan tradisi Melayu dan Malaysia dalam kepesatan dunia moden.

Angkasapuri Kota Media hab penyiaran negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, keterujaan Mariati Mat Isa ketika melangkah masuk ke pejabat tempatnya bertugas lain daripada kebiasaan.

Sudah lebih sedekad menabur bakti mencari rezeki di Jabatan Penyiaran Malaysia atau Radio Televisyen Malaysia (RTM), semangat wanita berusia 35 tahun itu ke tempat kerjanya nyata berbeza.

Perasaan paling teruja bercampur bangga tercetus tatkala melihat bangunan gah setinggi 18 tingkat lengkap berkaca yang tersergam indah di atas Bukit Putra, Angkasapuri, Kuala Lumpur itu.

Mariati yang bekerja di Unit Pemasaran dan Promosi RTM memberitahu, kerja-kerja pembinaan ‘media city’ (kota media) yang dinamakan Angkasapuri Kota Media itu sudah dimulakan sekitar 2016 lalu.

Enam tahun menanti, 26 Oktober lalu menjadi detik bersejarah buat warga kerja RTM atas pelancaran bangunan yang diangkat sebagai ikon penyiaran teknologi digital negara itu.

Lebih membanggakan, perasmian kota media yang dinantikan-nantikan seluruh pengamal media di negara itu dirasmikan mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bukan sekadar kompleks penyiaran yang dinaik taraf bagi menempatkan warga kerja media kerajaan, RTM, kota media itu disasarkan untuk menjadi hab penyiaran negara yang menghimpun penyiar-penyiar tempatan pada masa depan sebagaimana kota-kota media di luar negara.

“Saya sendiri pernah masuk ke dalam bangunan baharu tersebut yang kami gelarkan wisma dan hab penyiaran di RTM ini. Fasiliti yang ditawarkan setanding ‘media city’ di negara maju lain,” katanya kepada K2.

Projek kota media tersebut melibatkan kos keseluruhan RM860 juta meliputi pejabat dan ruang teknikal seluas 27.11 hektar yang turut merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan penyiaran.

FASILITI yang tampak moden dan berkelas tinggi.

Ia menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras perancangan kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

Kompleks yang diilhamkan daripada reka bentuk keris dan tengkolok itu mempunyai 18 tingkat ruang pejabat, auditorium berkapasiti 1,000 orang, studio rakaman muzik dan studio latihan muzik, tiga buah studio TV, ruang parkir bertingkat dan plaza serta garaj kenderaan siaran luar. Ia juga dilengkapi eskalator terpanjang di pejabat kerajaan negara ini iaitu sepanjang 34.6 meter,

Dalam satu wawancara bersama RTM, Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia, Datuk Che Roslan Che Daud berkata, fokus kota media itu adalah untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen menerusi tiga elemen penting.

Tiga elemen tersebut ialah bangunan fizikal baharu dan kondusif untuk bekerja, fasiliti bertaraf dunia dan sumber manusia di dalamnya.

“Ketiga-tiga elemen ini ada di dalam kota media ini. Kesemua elemen berkepakaran dan berpengalaman itu dengan fasiliti bertaraf antarabangsa yang digabungkan di bawah satu bumbung nescaya hasilnya akan dapat mencapai tahap tertinggi dan bertaraf dunia,” katanya.

antara fasiliti canggih berteknologi tinggi yang bakal merancakkan lagi industri penyiaran negara.

Sementara itu, semasa perasmiannya dalam satu upacara gilang-gemilang, Ismail Sabri turut mengumumkan nama kota media itu sebagai Angkasapuri Kota Media. Bersesuaian dengan ‘bandar’, bekas Perdana Menteri itu turut memasyhurkan nama-nama jalan di sekitar kompleks itu sebagai Jalan Penyiaran, Jalan Lensa, Jalan Frekuensi serta Bulatan Simfoni.

Ismail Sabri kala berucap merasmikan kota media itu berkata, kehadiran pusat itu sebagai simbol penyiaran negara bukan sesuatu yang dihadkan kepada kewujudan sebuah bangunan secara fizikal semata-mata.

Katanya, teknologi yang dibawa dan diaplikasikan bersama pembangunan itu wajib dioptimumkan penggunaannya dalam penghasilan kandungan, siaran radio dan televisyen yang lebih jelas selain penyampaian maklumat dan hiburan kepada seluruh masyarakat.

“Besar harapan saya agar kota media ini pada masa hadapan akan terus dibangunkan menjadi pusat penyiaran negara dengan penyertaan dan kehadiran pelbagai penyiar tempatan di kompleks serba gah ini.

“Kita mahu buktikan yang Malaysia juga mampu mencontohi Media City di Dubai, UAE; Manchester, United Kingdom; Sydney, Australia dan Singapura yang sudah lama mempunyai bandar hab media mereka sendiri.

“Walaupun perkara ini akan mengambil masa yang panjang untuk direalisasikan dengan jayanya, itu adalah hala tuju yang dapat dipetakan pada masa ini,” ujarnya.

Wajah baharu Angkasapuri kini yang dinaik taraf menjadi kota media dengan tersergamnya bangunan 18 tingkat ruang pejabat. – IHSAN UNIT FOTO RTM

Seiring kewujudan pusat digital berteknologi tinggi itu, kota media tersebut secara tidak langsung juga bakal menjadi ikon penyiaran teknologi digital Malaysia.

“Kehadirannya secara tidak langsung boleh digarap menjadi satu model penerbitan kandungan kebangsaan sebagaimana yang dipelopori Hollywood di Amerika Syarikat, BBC di Eropah dan industri kandungan di Jepun dan

Korea yang berpaksi kepada kebudayaan dan gaya hidup tempatan dengan nilai kebersamaan universal,” kata beliau.

Ujarnya lagi, hakikat bahawa pembangunan kota media itu yang terletak di ibu negara juga dilihat sebagai langkah strategik kerajaan bagi merangsang perkembangan serta pembangunan industri penyiaran di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN