fbpx

Rider didakwa tumbuk, tendang isteri enggan ke majlis adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh diiringi anggota polis selepas didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan menumbuk dan menendang isterinya gara-gara wanita itu enggan ke majlis tamat latihan adiknya, minggu lalu.

Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, membuat pengakuan bersalah, namun Majistret Mazana Sinin menolak pengakuan itu kerana ia dibuat ‘secara bersyarat’ membabitkan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah mendatangkan kecederaan kepada isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dengan tangan dan menendang bahagian belakang badan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan pada pukul 9 malam di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Disember lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak mereka untuk hadir ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Wanita itu bagaimanapun menolak ajakkan tersebut yang membuatkan tertuduh naik berang dan mencederakannya.

Ketika pengakuan dibuat, tertuduh bagaimanapun mengaku dia hanya menarik rambut dan menampar muka isterinya selepas mendakwa wanita itu telah memanggil ibunya sebagai anjing.

Justeru, mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh selepas pihak pendakwaan turut ingin mengekalkan pertuduhan seperti yang telah dinyatakan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J. Banusha menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jaminan rendah diberikan dengan alasan dia mempunyai tanggungan lima orang anak, selain hanya bekerja sebagai penghantar makanan.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Mazana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan oleh pihak pendakwaan.

Beliau kemudian menetapkan tarikh 26 Januari depan sebagai sebutan semula dan lantikan peguam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI