PETALING JAYA – Beberapa sungai di Pahang, Kelantan dan Negeri Sembilan dilaporkan masih berada pada paras bahaya berikutan hujan berterusan.
Menurut laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) setakat pukul 2, kesemua sungai terbabit masih belum menunjukkan trend menurun sejak semalam.
Di Pahang, dua sungai terlibat iaitu Sungai Pahang di Lubuk Paku, Maran dengan bacaan 19.24 meter (m) manakala Sungai Triang di Triang, Bera mencatatkan bacaan 34.62 m melebihi paras bahaya.
Selain itu, turut melepasi paras bahaya, di Kelantan melibatkan Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas dengan bacaan 9.53m sementara di Negeri Sembilan, Sungai Muar di Kg. Berembang, Kuala Pilah merekodkan bacaan 63.05m.
Terdahulu, MetMalaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan bagi kawasan Pantai Barat Semenenanjung pada sebelah petang dan malam sehingga hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan keadaan paras air terutama bagi penduduk yang berada di kawasan rendah. – KOSMO! ONLINE














