fbpx
NABILA RAZALI

Nabila Razali dibenci tapi tetap dicari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KETIKA ramai rakan seusia menamatkan zaman bujang, penyanyi Nabila Razali pula tenang melewati hari-harinya tanpa bayangan teman istimewa.

Selebriti berusia 30 tahun itu mengakui kesibukannya sebagai anak seni menjadi kekangan untuk mengenali mana-mana jejaka sebagai pasangan hidup.

Bintang drama Seindah 7 Warna Pelangi itu bahkan mengakui bimbang tidak dapat memberi komitmen penuh, sekiranya terjebak dalam percintaan.

“Saya sedar rakan-rakan sekeliling ramai sudah berkahwin dan ada keluarga tapi saya masih belum ada rezeki ke arah itu.

“Bukan tidak mahu bercinta tetapi kerja membuatkan saya jarang ada masa untuk memikirkan hal itu. Jika bercinta sekali pun, saya bimbang tidak ada masa. Tidak adil untuk pasangan saya.

“Jadi, buat masa ini biarlah saya bekerja dulu. Jika Allah kata jodoh sampai satu hari nanti, saya tidak boleh menolak,” ujarnya.

BUAT masa ini, Nabila mahu fokus dengan kerjaya dan belum memikirkan soal cinta.

Ditanya tentang kesunyian hidup bersendirian, bohonglah jika penyanyi lagu Peluang Kedua itu tidak pernah terdetik tentang kekosongan perasaannya.

Namun, Nabila yang masih menetap bersama keluarga berkata, dia jarang tinggal bersendirian sehingga menyebabkan terbit rasa kesunyian.

“Bohonglah kalau kata tidak sunyi tapi saya tidak melayan perasaan itu. Selain sibuk bekerja saya juga tinggal dengan keluarga.

“Setiap kali balik rumah atau tiada kerja, saya tidak rasa terlalu sunyi kerana masih ada orang di rumah. Ada sahaja aktiviti bersama keluarga,” ujarnya.

Aku Terluka

Muncul dengan single ketujuh berjudul Aku Terluka, Nabila yang dikecam gara-gara memuat naik seolah-olah foto kahwin bersama penyanyi rap MK K-Clique mengakui, tidak berniat melakukan gimik yang mencetuskan kemarahan netizen.

Pendekatan Nabila dan pihak pengurusan mempromosikan lagu baharunya itu disalah erti.

“Ramai salah faham tentang cara saya promosikan lagu. Apa yang saya kongsi dalam media sosial itu adalah teaser yang ada dalam video muzik.

“Saya tidak dapat halang apa yang orang ramai fikirkan dan sangka saya buat gimik sekali lagi. Saya fikir ramai dah dapat tahu cara saya promosikan single.

“Meskipun ramai yang marah tapi ramai juga yang tertunggu-tunggu dan nak tahu lagu baharu saya,” ujarnya.

Ujar Nabila, kemunculan sekali lagi MK atau nama sebenarnya Mohammad Hairi Amin Hamdan dalam video muzik tersebut adalah kesinambungan single sebelum ini, Peluang Kedua.

GIMIK Nabila Razali menggunakan foto ala-ala majlis perkahwinan bersama MK K-Clique.

Dalam erti kata lain, video muzik tersebut adalah penjelasan cerita dalam Peluang Kedua yang sebelum ini dikatakan tergantung.

“Ramai peminat lagu Peluang Kedua bertanya tentang apa yang terjadi kepada MK dalam video muzik Peluang Kedua. Jadi Aku Terluka ada jawapannya dan sebab itu juga saya perlukan dia sebagai hero,” ujarnya.

Diusik tentang keserasiannya bersama MK, Nabila menyifatkan penyanyi rap kegilaan ramai wanita itu seorang yang profesional. MK juga sentiasa memberi komitmen tinggi setiap kali bekerjasama.

“Tiada bibit cinta pun, dia sudah berpunya. Dia profesional dan sentiasa berikan yang terbaik,” ujarnya.

Lagu Aku Terluka ciptaan Amylea Azizan dan MFMF kini sudah menerima lebih 530,000 tontonan YouTube sejak dipancarkan sejak 30 November lalu.

Berkongsi tentang video muzik tersebut, Nabila berkata, penggambaran dilakukan sekitar Mac lalu di Pulau Redang, Terengganu.

Menggunakan khidmat syarikat produksi The V, penggambaran dilakukan sebelum dia mempunyai lagu.

“Sebenarnya kami menjalani penggambaran dahulu sebelum mempunyai lagu. Rancangan awal hanya percutian biasa tetapi sudah alang-alang saya tiada masa bercuti jadi terus selitkan dengan penggambaran.

“Idea untuk adakan penggambaran dan hubungi pihak-pihak berkaitan termasuk MK hanya seminggu sebelum berangkat,” ujarnya.

Diminta berhenti nyanyi

Sedikit terluka dengan kata-kata netizen yang mengecam nyanyiannya secara langsung, sejujurnya Nabila sudah melakukan yang terbaik setiap kali muncul di pentas.

Sebagai manusia yang banyak kelemahan, dia akur ada melakukan kesilapan yang menyebabkan nyanyiannya kadangkala tidak mencapai standard sepatutnya.

Masih mengambil kelas vokal, Nabila mengakui perlu belajar dan berusaha lebih kuat berbanding penyanyi seangkatannya yang lain.

“Saya tidak pernah salahkan sesiapa setiap kali melakukan kesilapan. Saya sedar masih banyak kekurangan dan perlu belajar lebih kuat.

“Kadangkala tidak cukup rehat juga membuatkan saya tidak mampu menyanyi dengan baik tapi itu bukan alasan,” ujarnya.

NABILA tak pernah putus asa biarpun menerima pelbagai kecaman setiap kali menyanyi secara langsung.

Kecaman netizen yang memintanya berhenti menyanyi juga tidak pernah mematahkan semangat Nabila untuk terus bertahan dalam industri.

Mengakui adakalanya tergores dengan komen negatif, namun dia hanya mampu memekakkan telinga kerana enggan emosinya terjejas.

“Saya tolak tepi kecaman. Kalau fikir orang cakap, nanti saya hanya dekat situ. Menyanyi minat saya dari kecil, jadi kenapa perlu dengar cakap orang.

“Saya tak marah tapi kecewa dengan kata-kata kesat seolah-olah mereka tiada adik-beradik atau kawan-kawan,” ujarnya.

Kata Nabila, dia mengambil setiap kecaman yang membina bagi memperbaiki diri menjadi lebih baik.

Tidak terfikir sama sekali untuk meninggalkan bidang nyanyian, Nabila berkata, dia dalam perancangan untuk mengeluarkan beberapa buah lagu baharu tahun depan.

“Insya-Allah awal tahun depan saya akan keluar sebuah lagu duet dengan seorang artis dan beberapa lagi lagu kolaborasi serta single baharu,” ujarnya.

Lagu rancak

Mengulas permintaan netizen yang mahu melihat dia kembali menyanyikan genre rancak seperti dahulu, Nabila memilih untuk tidak stereotaip dengan hanya rentak muzik yang sama.

Dia lebih suka mencuba pelbagai genre agar tidak berada di takuk sama.

“Sebagai penyanyi sudah pasti saya mahu cuba banyak genre. Takkan nak tengok saya bawa lagu ‘cumi-cumi’ sampai umur 50 tahun. Nanti peminat kata saya tiada lagu lain.

“Jadi saya cuba sahut cabaran bawa lagu nada tinggi dan pada masa sama belajar vokal supaya jadi lebih baik,”

“Tapi tidak bermakna enggan langsung keluar lagu rancak lagi, jika ada yang bersesuaian apa salahnya,” ujarnya.

Selain itu, Nabila akan muncul dengan drama baharu bergandingan dengan pelakon Aedy Ashraf berjudul Kerana Cinta Itu Ada menerusi slot Akasia TV3 bermula hujung Disember ini.

Drama adaptasi novel miliknya tersebut merupakan salah satu pencapaian terbaik bagi Nabila sebagai anak seni.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN