fbpx

UPSR: Jangan sesuka hati tukar sistem pendidikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SISTEM pendidikan se­ring kali mengalami perubahan seiring dengan peredaran masa dan keperluan negara.

Peralihan tersebut adalah wajar dan perlu dilaksanakan agar generasi pelapis mempunyai kemahiran yang tepat dan selari dengan permintaan industri.

Ini kerana, selain menjadi modal insan yang berguna, sekolah atau institusi pengajian memainkan peranan yang sa­ngat besar dalam mencorak dan me­ngubah masa depan atau kerjaya seseorang individu.

Bagaimanapun, sistem ber­kenaan kini menerima pelbagai kritikan dan pandangan berikutan ia disifatkan tidak begitu berkesan apabila sebanyak 71.2 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaporkan tidak mahu melanjutkan pengajian selepas tamat sekolah menengah.

Jika dahulu, sistem pendidikan turut menerima bantahan ekoran Bahasa Inggeris digunakan dalam pengajaran dan pem­belajaran mata pelajaran Sains dan Matematik pada 2003 yang dimansuhkan pada 2012 sebelum dikenalkan semula pada 2020.

Dalam pada itu, Kosmo! baru-baru ini melaporkan bahawa sebahagian ibu bapa turut merayu kepada Kementerian Pendidikan (KPM) untuk mengembalikan semula Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang telah dimansuhkan akibat resah melihat prestasi anak-anak di sekolah.

Ramai juga risau melihat anak-anak yang tidak cakna soal ilmu.

Untuk rekod, KPM telah mansuhkan UPSR pada 2021 dan digantikan dengan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) serta Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).

Timbalan Pengarah Pemba­ngunan Program dan Pemasaran Pusat Pembentukan Pendidikan Lanjutan dan Profesional Universiti Kebangsaan Malaysia (UKMShape), Jamalul Lail Abdul Wahab berkata, pelbagai aspek perlu dilihat jika mahu UPSR dikembalikan semula.

Menurutnya, sistem pendidikan tidak wajar diubah sesuka hati mengikut kemahuan sesetengah pihak sekali gus menjadikan murid-murid seperti ‘tikus makmal’.

“Apa yang penting adalah kita mahu sistem itu kukuh. Jika mahu ubah semula, kita perlu dapatkan ulasan yang menyeluruh daripada badan pelaksana, guru-guru dan ibu bapa.

“Semua harus tahu dan faham apa tujuan ia dilaksanakan dan perlu pastikan dasar itu sesuai dengan matlamat negara.

“Kita tidak boleh tukar sesuka hati,” katanya baru-baru ini.

Menurutnya, perkara itu juga seharusnya dilihat lebih mendalam berikutan pelaksanaan peperiksaan yang berlebihan akan memberikan kesan tambahan kepada pelajar.

“Pengalaman saya sebagai guru, kadang-kadang kelas-kelas yang mungkin dianggap kurang ‘penting’ terpaksa diketepikan apabila sekolah mahu pelajar lebih fokus kepada peperiksaan.

“Ia menyebabkan contoh kelas moral, pendidikan Islam dan kokurikulum pelajar tergadai. Sekolah tak menitikberatkan sedangkan perkara itu penting,” ujarnya.

Jelas Jamalul Lail, sistem pendidikan negara perlu bersifat menyeluruh untuk melahirkan pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi intelektual tetapi juga kemahiran.

“Tidak semua pelajar cemerlang daripada segi intelektual. Ada yang lebih kepada kemahiran. Jadi disebabkan pelajar yang bagus kemahiran tidak dapat menonjolkan potensi mereka sekiranya kita hanya fokus pada peperiksaan.

“Kita mahu sistem pendidikan yang kita usahakan ini dapat mengembangkan potensi pelajar secara keseluruhan yang mana selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI