fbpx

Kesetiaan penyokong jadikan Anwar PM ke-10

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MOHD. RASDAN AHMAD
WARTAWAN EKSEKUTIF

PILIHAN Raya Umum ke-15 yang berakhir 19 November lalu menyaksikan perjuangan Datuk Seri Anwar Ibrahim selama 24 tahun untuk bergelar Perdana Menteri akhirnya menjadi kenyataan.

Sosok Anwar sah menjadi Perdana Menteri ke-10 negara selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Jika melihat dan meniti perjalanan beliau untuk bergelar Perdana Menteri, ia bukan semudah disangka.

Pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri selama lima tahun di bawah pemerintahan Tun Mahathir Mohamad dari tahun 1993 hingga 1998, perjalanan Ahli Parlimen Tambun itu sangat berliku.

Ketika di bawah kepimpinan Tun Mahathir, Anwar telah dipecat daripada semua jawatan dalam kerajaan dan UMNO selepas dikaitkan terlibat dengan kes rasuah dan liwat pada September 1998.

Pada 1999, Anwar dikenakan hukuman penjara selama enam tahun atas kesalahan seks luar tabii (liwat) sebelum dibebaskan pada 2004 selepas Mahkamah Persekutuan Malaysia menggugurkan sabitan kesalahan liwat terhadap Anwar.

Pada 26 Ogos 2008, Anwar kembali ke Parlimen selepas memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh dan dipilih menjadi Ketua Pembangkang.

Dipendekkan cerita, pada 16 Mei 2018 iaitu selepas PRU14, Anwar memperoleh pengampunan diraja daripada Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V selepas PH berjaya membentuk kerajaan.

Namun, bukan mudah untuk Perdana Menteri ke-10 itu mendapat kerusi di Putrajaya seperti apa yang kita lihat sekarang.

Apa yang menarik adalah soal kesetiaan penyokong setianya buat sekian lama.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang ditubuhkan oleh sosok itu sebenarnya telah menjadi ­ruang bagi himpunan seluruh penyokong setia Anwar.

Penulis veteran, Mohd. Sayuti Omar sendiri pernah berkongsi satu ulasan pengulas politik yang menzahirkan rasa kesal dengan sikap orang UMNO khasnya pe­mimpin bertaraf menteri dan ke­tua bahagian yang bersikap pasif dan tidak menumpahkan simpati kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menghadapi dugaan.

Pengulas berkenaan katanya, kesal dengan sikap dan perangai orang UMNO yang bersikap se­perti kacang lupakan kulit lantas membandingkan perangai dan komitmen orang UMNO dengan orang PKR.

“Kesian pula saya mende­ngar keluhan dan kekesalannya, barangkali baru pengulas itu tahu akan hati budi orang UMNO. Begitulah jadinya kalau penyokong itu dijinakkan dengan kebendaan, wang ringgit dan bukan nilai perjuangan sejati.

“Perjuangan menggunakan duit sebagai modal tidak akan ke mana-mana,” jelasnya melalui satu penulisannya baru-baru ini.

Katanya, berbeza dengan penyokong Anwar, mereka diasak dengan idealisme dan berjuang atas prinsip parti.

Atas nilai keikhlasan dan nilai sayang itulah penyokong PKR berjaya meletakkan Anwar di kedudukan tertinggi dalam kerajaan ketika ini.

Selain dokongan daripada isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, semangat daripada pendokong beliau juga menjadi penguat semangat untuk memastikan obor perjua­ngan Anwar tidak padam.

Sesungguhnya, penyokong setia yang bersungguh-sungguh dan tidak pernah berpaling ketika pemimpin mereka berada dalam kesusahan akhirnya akan berbalas dengan satu titik kejayaan yang cemerlang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI