fbpx

Siti Bainun MC 22 hari, mohon tangguh perbicaraan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, diberitahu bahawa pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, diberi sijil cuti sakit (MC) selama 22 hari berakhir 19 Disember ini akibat masalah kesihatan yang dihadapinya.

Peguam bela Siti Bainun, Nur ‘Aminahtul Mardiah Md Nor memaklumkan anak guamnya dijangkiti bakteria yang memerlukan pengambilan antibiotik selama 15 hari sebelum menjalani pembedahan hempedu.

Peguam itu berkata jangkitan itu dikesan hasil prosedur perubatan endoskopi serta ujian darah di hospital semalam.

“Siti Bainun telah dibenarkan keluar dari hospital malam tadi dan telah diberikan surat cuti sakit (MC). Laporan terkini kesihatan dan MC Siti Bainun akan dikemukakan kepada mahkamah.

“Laporan penuh akan diberi selepas 14 hari kerana hospital memerlukan masa,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abbas memohon kepastian keadaan sebenar Siti Bainun yang diberikan MC bermula 28 November hingga 19 Disember ini.

“Kami bukan doktor untuk memahami gambar dalam laporan kesihatan kerana mempunyai banyak terma saintifik. Sebab itu, kami mohon doktor dipanggil memberi keterangan mengenai laporan itu.

“Berkaitan isu permohonan, pendakwaan sudah memfailkan bantahan berhubung permohonan mengikut Seksyen 112 KPJ semalam, namun permohonan Seksyen 173 KPJ baru diketahui hari ini,” katanya.

Susulan daripada permohonan tersebut, Hakim Izralizam Sanusi meminta kedua-dua pihak memfailkan hujahan bertulis permohonan mengikut Seksyen 173 KPJ itu sebelum pukul 4.30 petang esok dan akan membuat keputusan berhubung kedua-kedua perkara berkenaan Jumaat ini.

Izralizam juga akan memutuskan tarikh baharu prosiding bela diri kes Siti Bainun yang sepatutnya berjalan minggu ini, pada hari sama. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI