fbpx

Bola Al Rihla Piala Dunia 2022 dilengkapi sensor canggih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bola yang digunakan pada Piala Dunia 2022 di Qatar dilengkapi teknologi sensor bagi mengesan kedudukan dan kelajuan bola dengan lebih tepat.

BAHANG Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar sedang dirasai oleh peminat bola sepak di seluruh dunia.

Di sebalik kehangatan tersebut, mungkin ramai tidak menyedari bahawa bola rasmi yang digunakan pada kejohanan berkenaan dilengkapi dengan teknologi tinggi dan perlu dicas sebelum digunakan.

Bola buatan jenama sukan terkemuka, Adidas itu mempunyai teknologi sensor atau penderia gerakan unit ukuran inersia 500Hz yang menghantar data 500 kali sesaat.

Bola yang dinamakan daripada perkataan Arab, Al Rihla itu mampu mengukur data pada setiap perlawanan seperti kelajuan dan arah bola.

Digabungkan dengan data kedudukan pemain menggunakan kecerdasan buatan (AI), teknologi bola tersebut menawarkan maklumat serta-merta kepada Video Bantuan Pengadil (VAR) bagi membantu mengoptimumkan keputusan yang dibuat.

Menariknya, baru-baru ini tersebar di media sosial gambar bola berkenaan sedang dicas sebelum sepak mula perlawanan.

Untuk makluman, sensor yang terdapat pada bola itu dikuasakan oleh bateri. Pihak Adidas memaklumkan, bateri berkenaan boleh bertahan selama enam jam untuk penggunaan aktif.

Teknologi terbaharu itu dibangunkan dengan kerjasama rapat Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Adidas dan KINEXON iaitu syarikat peneraju dalam rangkaian sensor canggih.

Pengarah Urusan KINEXON, Maximilian Schmidt berkata, sensor seberat 14 gram itu mampu memberikan pengesanan bola dalam masa nyata.

Jelasnya, kamera perlu diletakkan di sekeliling padang bagi membantu pengadil menentukan kedudukan ofsaid dan keputusan-keputusan lain yang boleh dipersoalkan.

“Setiap kali bola ditendang, ditanduk dan dibaling, sistem ini akan mengesan kedudukannya.

BOLA Al Rihla perlu dicas terlebih dahulu sebelum boleh digunakan pada setiap perlawanan.

“Data akan dihantar dalam masa nyata daripada penderia ke sistem penentu kedudukan tempatan (LPS) yang melibatkan pemasangan antena rangkaian di sekitar padang.

“Ia akan mengambil dan menyimpan setiap data untuk kegunaan segera oleh pengadil,” katanya.

Tambahnya, apabila bola keluar daripada garisan permainan dan bola lain digunakan, sistem KINEXON secara automatik beralih input data kepada bola baharu tanpa memerlukan campur tangan manusia.

Malah, bola yang disertakan dengan teknologi tersebut telah diuji prestasinya oleh beberapa kelab bola sepak profesional serta digunakan pada kejohanan-kejohanan lain sebelum Piala Dunia berlangsung.

Dalam pada itu, Pengarah Teknologi dan Inovasi Bola Sepak FIFA, Johannes Holzmuller berkata, teknologi yang digunakan itu merupakan kemuncak kepada penyelidikan dan ujian yang dilakukan oleh FIFA serta Adidas selama tiga tahun.

“Teknologi ini akan memberikan pengalaman terbaik kepada pengadil, pasukan dan peminat yang hadir ke Qatar untuk menyaksikan kejohanan ini.

“Kita bakal melihat teknologi ofsaid separa automatik termasuk teknologi bola yang digunakan pada kejohanan ini,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Tinjauan Pengguna Adidas, Holger Kraetschmer berkata, pihaknya sentiasa komited dalam memberi sumbangan bagi meningkatkan mutu bola sepak moden.

“Menerusi teknologi bola ini, kami ingin membantu keputusan dibuat dengan cepat dan tepat, sekali gus meningkatkan pengalaman semua.

“Teknologi dan inovasi merupakan perkara teras kepada semua usaha yang kami lakukan selama ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI