fbpx

Pekerja hotel dijel lima tahun, 10 sebatan kerana dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Nur Azhar dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan selepas didapati bersalah memiliki dadah di dalam raga motosikalnya, April lalu.

MELAKA – Seorang pekerja hotel dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methampethamine, April lalu.

Hakim, Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nur Azhar Hassim, 26, yang mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dadah jenis methampethamine seberat 36.2 gram yang disenaraikan di bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.45 malam di tepi jalan PKAK 2, Hotel Metra Square, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April lalu.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka selepas menemui sebungkus plastik besar berisi dadah di dalam bakul motosikal miliknya.

Terdahulu, tertuduh diwakili Peguam A.H. Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid merayu agar hukuman ringan dapat diberikan atas alasan perlu menyara ibu dan ayahnya yang kini meraih pendapatan dengan hanya berniaga cendol di tepi jalan.

Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam mengenai kesalahan berat dilakukan.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 9 April lalu dan mengenakan 10 sebatan. – KOSMO! ONLOINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI