fbpx
SUASANA di Stesen Padang Besar dalam keadaan terkawal dan pengunjung memilih menaiki van untuk ke Hatyai susulan perkhidmatan kereta api ditangguhkan sementara waktu.

Letupan bom: Pelancong Malaysia tetap ke Hatyai naik van

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR – Pengunjung dari Padang Besar, Malaysia yang ingin ke Hatyai, Thailand terpaksa memilih menggunakan van dengan tambang RM30 seorang selepas perkhidmatan kereta api State Railway of Thailand (SRT) ditangguhkan buat sementara waktu.

Perkhidmatan tersebut terpaksa dihentikan sementara susulan insiden pengeboman berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand, kelmarin.

Tinjauan Kosmo! di sini mendapati, kebanyakan pelancong yang membeli tiket kereta api SRT terpaksa ke Hatyai menaiki van yang sudah tersedia luar SRT.

Malah, kaunter tiket bagi perkhidmatan kereta api itu di Stesen Padang Besar juga masih ditutup buat sementara waktu susulan daripada penangguhan perjalanan berkenaan.

Seorang pengunjung, Nor Khalisah Abd. Rahim, 35, berkata, kejadian pengeboman itu menyebabkan perjalanannya dan ahli keluarga untuk ke Hatyai sedikit terganggu dan mereka perlu menukar perancangan perjalanan mereka.

“Kami sekeluarga ingin melawat saudara sakit di sana dan apabila sampai ke Stesen Padang Besar, kami dimaklumkan perjalanan kereta api ke Hatyai ditangguhkan sementara waktu susulan kejadian berkenaan.

“Secara kebetulan terdapat perkhidmatan van ditawarkan di sini jadi kami ambil keputusan untuk naik van saja ke sana dengan bayaran RM30 seorang,” katanya.

KAUNTER tiket perkhidmatan kereta api SRT di Stesen Padang Besar ditutup buat sementara waktu semalam susulan kejadian pengeboman berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand kelmarin.

Dalam kejadian pada pukul 2 petang kelmarin, satu kejadian pengeboman dilaporkan berlaku berhampiran Stesen Kereta Api Klong Ngea, Sadao, Thailand sehingga menyebabkan perkhidmatan kereta api SRT dari Hatyai ke Stesen Padang Besar tergendala.

Kejadian itu menyebabkan gerabak kereta api yang membawa muatan kargo tergelincir daripada landasan, namun tiada mana-mana mangsa dilaporkan cedera.

Landasan kereta api itu juga terpaksa ditutup buat sementara waktu bagi membolehkan kerja-kerja baik pulih dilaksanakan.

Dalam pada itu, sumber turut memaklumkan kejadian tersebut melibatkan 15 gerabak kargo milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa muatan getah sekerap.

Malah, beberapa wakil KTMB juga telah diarahkan turun ke lapangan bagi meneliti kerosakan gerabak yang terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hubungan dan Kerjasama Sempadan Perlis, Izizam Ibrahim berkata, pihak­nya menasihati orang ramai yang ingin berkunjung ke Hatyai agar dapat menangguhkan dahulu perjalanan mereka.

“Buat sementara waktu tangguh dulu sekiranya tiada keper­luan mendesak demi keselamatan semua pihak,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

POPULAR