fbpx

Langkah berani MDC teroka perniagaan masa depan dalam bidang perubatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penasihat Syariah, Dr. Zaharuddin Abd Rahman hadir pada majlis perasmian Pusat Berpantang (The Sanctuary Pusrawi) di Kota Damansara baru-baru ini.

Industri perubatan dan kesihatan semakin bernilai tinggi tetapi permintaannya terus bertambah seiring dengan perubahan gaya hidup masyarakat masa kini.

Bergerak seiring, syarikat bumiputera, MDC Asia Link Berhad (MDC) terus aktif melebarkan sayap perniagaannya yang berasal daripada bidang pergigian tetapi kini melangkah lebih berani dengan memiliki sebuah hospital di Kota Damansara serta yang terbaharu membuka Pusat Berpantang The Sanctuary di premis berkenaan.

Idea, minat dan kesungguhan Ketua Pegawai Eksekutif MDC, Dr. Aslan Bacho dalam bidang tersebut telah menjadikan jenama My Dental Care semakin popular dalam industri perubatan sekali gus mahu membuka lagi klinik baharu untuk meluaskan penguasaan pasaran.

Perancangan terbaharu adalah membangunkan sebuah pusat rawatan khusus pergigian yang mana perkhidmatan tersebut sukar diperoleh di mana-mana klinik lain di negara ini.

“Kami tidak bersaing dengan mana-mana hospital utama yang ada nama besar dalam pasaran tempatan tetapi kami berada dalam pasaran khusus tetapi memiliki semua kemudahan yang lengkap untuk memenuhi permintaan pesakit. Kehadiran kami melengkapkan lagi industri ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Lebih menerujakan Aslan adalah persiapan syarikat untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang.

Kosmo!: Sehingga kini, MDC sudah memiliki rangkaian klinik gigi yang kukuh, kenapa mengambil alih Hospital Pusrawi Damansara daripada Pusrawi Corporation Sdn. Bhd.?
Aslan: Ya, kami memang bermula dengan rangkaian klinik gigi yang dikenali sebagai My Dental Care.

Dari situ kami mahu mencari hospital yang lengkap dengan kemudahannya kerana klinik-klinik gigi yang biasa tidak memiliki peralatan yang khusus untuk membuat sebarang rawatan yang melibatkan pembedahan.

Disebabkan itu kami terpaksa merujuk kes-kes tersebut kepada hospital swasta. Jadi dengan memiliki hospital sendiri, kami boleh membuat rawatan dan boleh menggunakan bilik pembedahan di hospital ini juga.

Tetapi kenapa menjadikan ia sebagai hospital bersalin dan kini melancarkan pula pusat berpantang di hospital ini?
Saya adalah doktor perubatan dalam bidang sakit puan dan pernah bekerja di hospital kerajaan selama tujuh tahun dalam bidang tersebut.

Kemudian saya berpindah ke sektor swasta, saya membuka klinik gigi. Jadi, bidang sakit puan, bersalin dan berpantang adalah perkara yang saya pernah lakukan sebelum ini dan saya berminat untuk meneruskan lagi bidang tersebut pada masa depan.

Hospital ini lengkap dengan kemudahan termasuk bilik pembedahan dan ia ada lima tingkat yang mana saya telah memikirkan untuk menawarkan satu kemudahan yang lengkap ekosistemnya kepada ibu mengan­dung daripada mereka mula membuat pemeriksaan sehingga bersalin dan berpantang pada minggu awal.

Saya lihat segmen bersalin dan berpantang adalah satu perniagaan masa depan yang berpotensi. Memang di luar sana ada pusat berpantang tetapi jika diberikan taraf bintang se­perti hotel, mungkin standardnya adalah antara dua hingga tiga bintang sahaja.

Tetapi pusat berpantang kami menawarkan satu perseki­taran yang lebih berkualiti kepada ibu dan anak.

Kami juga bawakan dua elemen baharu dalam pusat ini iaitu sokongan keibubapaan yang mana kami menyediakan sesi coaching dan perbincangan bersama pakar dan juga ibu mengandung.

Sebab semua ibu memiliki kes berbeza antara satu sama lain dan ada di antara mereka yang memerlukan ­coac­hing untuk membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Apakah peracangan terbaharu MDC?
Kami memiliki tiga segmen perniagaan yang akan bergerak beriringan dan memiliki perancangan untuk setiap segmen.

Untuk pergigian, buat masa ini kami memiliki 25 cawangan klinik dan daripada jumlah tersebut, syarikat memiliki empat pusat rawatan pergigian yang lengkap.

Kami bercadang untuk membuka lagi klinik gigi baharu dan juga bakal membuka pusat rawatan pergigian khusus yang mana rawatan tersebut tidak ditawarkan oleh mana-mana klinik gigi yang berstandard biasa.

Perniagaan ini menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pendapatan kumpulan. Segmen kedua pula adalah hospital bersalin ibu dan anak yang mana kami bercadang untuk membuka 20 cawangan baharu pada masa depan.

Manakala untuk segmen ketiga adalah digital yang mana kami menawarkan platform Hi Doktor. Ini adalah platform secara online yang memudahkan orang ramai berinteraksi dengan doktor dan pakar berkaitan masalah yang dihadapi.

Terdapat beberapa senarai doktor dalam pelbagai bidang dan mereka boleh memilih daripada segi testimoni pelanggan sebelum ini. Pelanggan boleh berjumpa secara online terlebih dahulu dan jika perlu membuat pemeriksaan ke kliniknya, maka ia dapat menjimatkan masa dan kos.

Boleh jelaskan le­bih lanjut mengenai perniagaan digital ini?
Saya nampak ini adalah perniagaan masa depan dalam dunia perubatan dan kesihatan. Kita tidak boleh buka banyak klinik dan mempromosikan perkhidmatan dan diri sendiri. Sekarang ini semuanya berada di hujung jari kita.

Kami nak membantu mempromosikan kepakaran doktor-doktor ini kerana mereka sangat berkemahiran merawat pesakit tetapi tidak pandai membuat promosi serta pemasaran. Sekarang ini, masyarakat lebih suka memilih doktor dan mereka mahu mencari doktor yang berpengalaman dengan ada testimoni yang baik.

Semua itu boleh didapati secara online. Kos yang dikenakan pula mungkin lebih rendah daripada berjumpa di klinik.

Buat masa sekarang, kami memiliki lebih daripada 50 doktor di dalam senarai Hi Doktor dan kami mahu bergerak lebih aktif untuk menambah lebih ramai doktor berada dalam senarai tersebut bagi membolehkan kami menawarkan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan.

Apakah cabaran yang dihadapi oleh syarikat dalam bidang digital?
Kami daripada latar belakang perubatan dan kesihatan, tetapi mahu pergi lebih jauh dalam digital untuk menjadikan sebagai salah satu perniagaan teras Kumpulan.

Sekiranya kami masih berada dalam konvensional, berapa ramai pesakit yang kami dapat setiap hari, tetapi jika melalui digital, jumlah pesakit juga akan bertambah. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI